Anda di sini

PBPHS anjur kursus pengadil hoki 8-9 Ogos

Advertisement

KUCHING: Persatuan Bekas Pemain Hoki Sarawak (PBPHS) akan menganjurkan Kursus Pengadil Kelas 3 yang akan diadakan pada 8 dan 9 Ogos depan di Kuching Park Hotel.

Perkara itu dinyatakan oleh Presiden PBPHS, Haidel Heli sambil menambah kursus selama dua hari itu bertujuan meningkatkan lagi tahap kemahiran pengadil tempatan.

“Persatuan berhasrat melahirkan lebih ramai pengadil tempatan baharu untuk membantu menghidupkan semula sukan hoki di Sarawak,” ujar beliau semalam.

Menurut Haidel, kursus tersebut akan dikendalikan oleh tenaga pengajar bertauliah daripada Majlis Pengadil Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Peserta kursus akan didedahkan dengan peraturan dan undang-undang baharu pengadilan hoki sebelum diberi ujian teori bagi menilai tahap kefahaman mereka.

Sijil penyertaan akan diberikan kepada semua peserta yang terlibat manakala sijil pengadilan hanya diberi kepada peserta yang lulus ujian teori.

“Kursus ini terbuka kepada semua yang berminat di mana kita menyasarkan seramai 30-40 peserta,” jelas Haidel sambil menambah setakat ini 22 peserta telah mendaftar nama.

Yuran dikenakan sebanyak RM100 kepada setiap peserta dengan tarikh tutup penyertaan pada 31 Julai ini.

Untuk pertanyaan lanjut berhubung pendaftaran, hubungi Setiausaha PBPHS, Desmond Labong menerusi talian 016- 8678848.

 

Advertisement