Anda di sini

Jangan jadi ‘pasukan belasahan’ Liverpool, tegas Dollah

Advertisement
 Dollah dan pengurus Liverpool Rodgers (kiri) bersalaman ketika sidang media bersama, semalam. Liverpool FC akan menentang pasukan Pilihan Malaysia dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. — Gambar Bernama

ERAT PERSAHABATAN: Dollah dan pengurus Liverpool Rodgers (kiri) bersalaman ketika sidang media bersama, semalam. Liverpool FC akan menentang pasukan Pilihan Malaysia dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: “Jangan biarkan diri jadi pasukan belasahan,” itu amaran jurulatih skuad bola sepak Pilihan Malaysia, Dollah Salleh kepada anak buahnya.

Bagi Dollah, biarpun akan berdepan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool yang penuh dengan sejarah hebatnya, ia bukan alasan untuk skuad kendaliannya yang dibarisi pemain tempatan dan import dari Liga Malaysia, menampilkan aksi lesu di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Sebaliknya ketua jurulatih kebangsaan yang diberi tanggungjawab mengendalikan pasukan Pilihan Malaysia pada aksi persahabatan antarabangsa itu, yakin pemainnya akan memberikan saingan sengit kepada skuad ‘The Reds’.

“Yang penting saya mahukan pemain memberikan saingan kepada Liverpool dan tak nak jadi pasukan belasahan… bagi yang terbaiklah.

“Saya cuma khuatirkan tentang kerjasama berpasukan sahaja kerana pemain baru berada bersama kita selama empat hari, ada yang baru dua hari.

Namun pemain memang bersemangat untuk beraksi pada malam esok (malam ini),” katanya selepas sesi latihan rasmi pasukan di Stadium Nasional petang semalam.

Ini merupakan lawatan kedua Liverpool ke Malaysia selepas menumpaskan Harimau Malaya di bawah bimbingan Datuk K.

Rajagobal 6-3 pada tahun 2011 di hadapan lebih 85,000 penonton di gelanggang yang sama.

Menggulas kemungkinan pengurus pasukan Liverpool Brendan Rodgers menurunkan barisan simpanan, Dollah berkata skuad bimbingannya tidak akan memandang ringan cabaran kelab Inggeris itu.

“Tak kira sama ada skuad simpanan atau skuad utama, Liverpool adalah Liverpool, kita tidak boleh pandang rendah keupayaan mereka,” katanya.

Sementara itu, pemain sayap dari Sarawak, Joseph Kalang Tie menyimpan impian menjaringkan gol menentang ‘The Reds’ ini, walaupun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahunya.

“Perlawanan esok (malam ini) merupakan peluang terbaik bagi pemain untuk menimba pengalaman yang sangat berguna sepanjang kerjaya kami.

Inilah masa terbaik untuk saya belajar daripada pemain berkelas dunia,” kata pemain berusia 28 tahun itu.

Tiket bagi perlawanan esok berharga RM58 (bagi pelajar), RM88, RM158, dan RM228 manakala tiket VIP berharga RM428 dan RM328.

Tiket boleh dibeli secara dalam talian di ticketpro.com. my, hotline +603-7880-7999, saluran Ticketpro dan New Balance and Sports Empire. — Bernama

Advertisement