Anda di sini

SESB tutup bekalan elektrik, rampas sambungan haram

Advertisement

Mohon kerjasama agensi banteras kegiatan berbahaya

SANDAKAN: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bertindak menutup bekalan elektrik dan merampas wayar sambungan haram serta-merta selepas seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat maut akibat renjatan elektrik.

Difahamkan sewaktu kejadian mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik apabila tersentuh wayar sambungan haram ‘hidup’ yang telah rosak akibat kebakaran di kawasan belukar sekitar Taman Kenari, Batu 7, di sini ketika bertugas memadamkan kebakaran.

Pengurus Besar Kanan (pengurusan aset) SESB Muhamad Nazri Pazil berkata, kawasan Batu 7 itu adalah antara kawasan ‘panas’ yang menjadi fokus operasi membanteras kegiatan sambungan haram di kawasan penempatan setinggan oleh pihak SESB.

“Wayar-wayar disambung secara tidak selamat daripada loji kumbahan oleh penduduk penempatan setinggan yang amat berleluasa di kawasan berhampiran.

“Walaupun sering dibuka dan dirampas, sambungan haram akan tetap disambung semula oleh orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dihantar kepada Utusan Borneo kelmarin.

Menurutnya, SESB juga menghadapi banyak kekangan daripada peruntukan undang-undang sedia ada dan bidang kuasanya amat terhad.

Oleh itu katanya, pihak SESB sekali lagi memohon kerjasama semua agensi kerajaan yang terlibat untuk sama-sama membantu membanteras kegiatan berbahaya ini terutamanya di kawasan setinggan.

“Pihak SESB juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang disahkan meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik daripada petang kelmarin (Isnin),” katanya.

Advertisement