SHAH ALAM: Pasukan penyiasat dalam kes bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo, akan menjurus kepada cubaan ‘pihak atau individu tertentu’ menjatuhkan kerajaan dengan cara tidak demokratik, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau mengulas penubuhan pasukan penyiasat Bukit Aman untuk dihantar ke Bangkok bagi menyiasat dakwaan Justo mengenai pertemuannya dengan ahli-ahli politik pembangkang dari Malaysia bagi menjual maklumat sulit.
“Di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan, arah tuju siasatan kita ialah untuk merungkai hasrat beberapa pihak atau individu tertentu yang cuba jatuhkan kerajaan dengan cara tidak demokratik.
“Seksyen yang sama juga kita gunakan untuk siasat pendedahan bekas pengarang Sarawak Tribune Lester Melanyi berhubung komplot oleh pembangkang dan pengendali laman web Sarawak Report (Clare Rewcastle Brown) untuk memburukkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan polis bantuan koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad di i-City di sini semalam.
Penubuhan pasukan itu susulan pendedahan mengenai cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara mewujudkan keadaan tidak stabil dalam negara dan menjejaskan keselamatan nasional.
Laporan menyebut bahawa pemimpin pembangkang telah mengadakan pertemuan dengan Justo untuk membeli maklumat daripadanya bagi memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.
Khalid bagaimanapun berkata pihaknya masih menunggu kebenaran daripada Polis Thailand untuk ke negara itu.
Beliau berkata hasil siasatan nanti akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Ditanya sama ada beliau akan mengetuai pasukan penyiasat tersebut, Khalid tidak menolak kemungkinan itu.
“Saya tidak menolak ketuai pasukan penyiasat ke Thailand…saya pun IGP (Inspector-General of Police). Sebagai IGP saya ketua segala-galanya dalam polis jadi kenapa tidak kan,” katanya.
Ditanya sama ada pihaknya akan turut bekerjasama dengan Polis Singapura dalam siasatan itu, Khalid menjawab: “Sudah semestinya…tetapi fokus kita sekarang ialah untuk menunggu kebenaran daripada polis Thailand untuk kita temu bual Justo.”
Justo, 49, ditahan oleh Polis Thailand pada 22 Jun lepas setelah PetroSaudi International membuat laporan yang mendakwa dia telah memeras ugut syarikat itu yang menjadi rakan usahasama 1Malaysia Development Berhad.
Ditanya mengenai pendirian The Edge bahawa ia telah merujuk kepada pakar untuk mengesahkan maklumat yang diperoleh berkaitan 1MDB sebelum menerbitkannya, Khalid berkata:
“Mereka ada pakar mereka, tetapi kami pun ada pakar kami juga. Pakar mereka tengok benda lain, pakar kita tengok benda lain.” — Bernama