Anda di sini

Harapan tinggi Paruwadi

Advertisement

Bekas Naib Presiden FAS itu mohon pandangan, persetujuan usul penubuhan PBSBS

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Paruwadi Musa akan mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan FAS dalam masa terdekat bagi membincang serta mendapatkan persetujuan daripada badan induk bola sepak negeri itu berhubung cadangan untuk menubuhkan Persatuan Bola Sepak Bumiputera Sarawak (PBSBS).

“Penubuhan PBSBS masih di peringkat cadangan namun saya menaruh harapan tinggi untuk melihat perkara ini menjadi realiti.

“Sehubungan itu, kita akan mengemukakan kertas cadangan mengenai penubuhan persatuan tersebut dengan barisan exco FAS pada satu tarikh yang akan ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka di kediaman beliau baru-baru ini.

Paruwadi menjelaskan, usul ini turut mendapat sokongan daripada beberapa orang kuat dalam bola sepak tempatan termasuk Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), Datuk Azzuddin Ahmad yang kebetulan hadir pada majlis tersebut.

Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu juga setuju perkara itu diajukan terlebih dahulu dengan FAS bagi mendapat pandangan dan persetujuan.

Menurut Paruwadi, PBSBS akan bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia sebaik ditubuhkan.

Fokus awal PBSBS ialah untuk menyertai Piala Emas Raja-Raja selain menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Piala Emas, Tuan Yang Terutama (TYT).

Turut hadir bekas Setiausaha Agung FAS Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman dan Penolong Setiausaha Kerja FAS, Rasdi Hamid.

Advertisement