KOTA BAHARU: Seorang pengawal keselamatan didapati meninggal dunia di dalam kereta di tapak pembinaan di Lembah Sireh di sini semalam.
Hanafi Zakaria, 54, ditemui isterinya Sakirah Hassan, 48, kira-kira jam 11 pagi.
Anak sulung mangsa Norma, 34, berkata bapanya keluar rumah selepas subuh untuk ke tempat kerjanya.
“Mak berasa tidak sedap hati selepas ayah tidak menjawab panggilan telefonnya. Mak lalu pergi ke tempat kerja ayah dan mendapati ayah tidak sedar diri di dalam keretanya,” katanya kepada Bernama.
Norma berkata bapanya sering sesak nafas akibat sakit jantung sejak beberapa tahun lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Baharu, Supt Setapa Yusof menyiftkan kes itu sebagai kematian mengejut.
Sementara itu di ibu negara, seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku salah mencederakan isteri dan anak lelakinya hanya kerana tertekan melihat keadaan rumah berselerak.
Majistret Jesseca Daimis menjatuhkan hukuman penjara dua bulan terhadap P. Govindasamy, 40, selepas mengaku mencederakan K. Parameswary, 36, di rumah mereka di PPR Seri Negeri Sembilan, Sentul di sini, pada jam 4 petang, Jumaat lepas.
Jesseca turut menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap tertuduh kerana mencederakan anak lelaki sulung mereka di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Beliau memerintahkan kedua-dua hukuman tersebut berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada Sabtu lepas.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Govindasamy didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,500 atau kedua-duanya.— Bernama