PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh perintah daripada Mahkamah Majistret di sini semalam untuk menahan reman seorang pengarah syarikat bagi membantu siasatan membabitkan akaun 1Malaysia Development Berhad (IMDB).
Majistret Lau Eric mengeluarkan perintah untuk menahan reman lelaki berusia 39 tahun itu sehingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM.
Lelaki itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam kelmarin oleh pasukan petugas khas yang menjalankan siasatan berhubung akaun 1MBD.
Suspek yang memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga, tiba di mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi. Dia diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Shafee memberitahu pemberita bahawa SPRM memohon perintah tahanan reman selama tujuh hari tetapi majistret hanya membenarkan empat hari.
Peguam itu berkata beliau tidak tahu sebab anak guamnya ditahan tetapi diberitahu bahawa ia adalah “siasatan atas kepentingan negara.” — Bernama