Anda di sini

Dua warga Pakistan ditahan disyaki pukul lelaki tempatan

Advertisement

KOTA KINABALU: Dua warga Pakistan ditahan polis semalam kerana disyaki memukul seorang lelaki tempatan yang menegur mereka menggunakan telefon bimbit di sebuah stesen minyak di Putatan.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M. Chandra berkata kedua-dua suspek lelaki berumur 23 dan 24 tahun itu ditahan di sebuah kedai runcit di Kampung Petagas di sini kira-kira jam 1.30 petang.

Beliau berkata ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Beaufort sedang menunggu giliran mengisi minyak apabila terlihat seorang daripada suspek sedang bercakap menggunakan telefon bimbit ketika mengisi minyak di stesen itu.

Bimbang akan keselamatan orang awam, mangsa telah menegur suspek, bagaimanapun teguran itu mengundang padah apabila kedua-dua suspek memarahi mangsa sebelum bertindak menumbuk mangsa, katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata insiden pergaduhan itu berjaya dileraikan orang awam yang berada di tempat kejadian.

Katanya suspek akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. — Bernama

 

Advertisement