Anda di sini

MABA tagih penyertaan pemain bukan Cina

Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) sedang meningkatkan usaha menarik lebih banyak pemain bukan Cina untuk melibatkan diri dalam sukan itu secara lebih serius.

Setiausaha Agung MABA, Chey That Woon berkata terdapat 550,000 pemain bukan Cina terlibat dalam sukan itu di peringkat amatur di seluruh negara.

Beliau berkata banyak pemain bukan Cina terlibat dalam kejohanan seperti ‘3 on 3’ tetapi jumlah mereka merosot dalam kejohanan terbuka, baik di peringkat negeri mahupun daerah.

Katanya setiap tahun pihaknya menganjurkan Piala MABA iaitu kejohanan kebangsaan khusus untuk pemain bukan Cina dan selepas kejohanan itu tidak ada kejohanan lain untuk mereka sepanjang tahun.

Punca utama ketandusan pemain bukan Cina ialah kekurangan pendedahan terhadap sukan itu di peringkat sekolah rendah, katanya kepada Bernama.

Di samping itu, Chey juga berkata salah satu punca utama ialah kekurangan infrastruktur seperti gelanggang dan dewan di kawasan luar bandar khusus di kawasan penempatan orang Melayu dan India.

“Anda jarang sekali melihat gelanggang bola keranjang di kawasan majoriti penduduk bukan Cina… jadi kanak-kanak memilih untuk menceburi sukan lain seperti bola sepak di kampung- kampung,” katanya.

Bagi mengatasi masalah ini, katanya, MABA telah merangka program jangka panjang untuk membangunkan bakat pemain bukan Cina di negara ini.  — Bernama

Advertisement