Anda di sini

Calleri curi tumpuan pada aksi sulung Tevez bersama Boca Juniors

Advertisement

BUENOS AIRES: Carlos Tevez dibayangi ketika dia kembali kelmarin ke Boca Juniors selepas 11 tahun merantau apabila rakan sepasukan Jonathan Calleri menjaringkan satu gol ‘rabona’ yang menakjubkan dalam kemenangan 2-1 ke atas Quilmes.

Sebastian Palacios meletakkan Boca di hadapan pada separuh masa pertama sebelum Calleri menjaringkan gol kedua yang penting untuk pendahulu liga itu selepas cubaan pertamanya disekat.

Alexis Canello mengurangkan defisit pada hujung perlawanan bagi pasukan pelawat di stadium Bombonera yang sesak.

Tevez, 31, menghabiskan masa sejak sedekad lalu di Eropah, dengan bermain untuk kelab seperti Manchester City, Manchester United dan Juventus.

Pada musim lepas, dia menjaringkan 29 gol di Turin, memenangi kejuaraan Serie A kedua dan naib juara dalam Liga Juara-Juara.

Tevez bermain untuk kelab Boca yang disayanginya dari 2001 hingga 2004 sebelum dia berhijrah ke Corinthians di Brazil.

Dari sana dia menyertai west Ham di England pada 2006 dan kemudian bermain untuk Manchester United sebelum dia pergi ke kelab seteru Manchester City dengan harga lebih 40 juta pound (RM220 juta) pada 2009.

Dia menyertai Juventus pada 2013 selepas empat musim di City dan pada musim lepas menjadi penjaring kedua terbanyak dalam liga Itali dengan 20 gol ketika Juventus memenangi liga dan mara ke peringkat akhir Liga Juara-Juara di mana mereka tewas kepada Barcelona.  — AFP

Advertisement