Anda di sini

Schneiderlin serlah kelincahan

Advertisement

Jaring gol tunggal buat Man Utd untuk pastikan kemenangan ke atas Club America

SEATTLE: Pemain baharu Manchester United Morgan Schneiderlin menjaringkan gol dalam penampilan pertamanya ketika gergasi Liga Perdana Inggeris untuk memulakan jelajah empat perlawanan mereka ke Amerika Syarikat dengan kemenangan 1-0 ke atas Club America dari Mexico di sini kelmarin.

Schneiderlin, pemain antarabangsa Perancis, yang memeterai perpindahan yang dilaporkan bernilai AS$39 juta (RM152 juta) ke Old Trafford dari Southampton pada awal bulan ini, menanduk masuk bola pada minit kelima untuk mendapatkan kemenangan itu di padang CenturyLink, Seattle.

Pengurus Manchester United Louis van Gaal menurunkan tiga pemain yang ditandatangani United pada musim panas baru-baru ini dalam formasi kesebelasan utama 4-2-3-1, dengan Schneiderlin yang mengemudi bahagian tengah di sisi Michael Carrick.

Pemain antarabangsa Itali Matteo Darmian mengisi posisi pertahanan kanan manakala penyerang Belanda Memphis Depay dikerahkan di bahagian tengah trio serangan yang diapit oleh Ashley Young dan Juan Mata.

Kapten Wayne Rooney menerajui serangan di hujung pasukan United yang kelihatan seimbang dan jarang sekali Casilla ganti tempat Casillas di Real Madrid digugat oleh pasukan lawan dari Mexico.

Gol pembukaan United dijaringkan selepas hanya lima minit sahaja apabila Schneiderlin melompat di tiang jauh untuk menyambar bola hantaran lintang oleh Mata dengan satu tandukan yang melayang di atas kepala penjaga gol America Hugo Gonzalez untuk kedudukan 1-0.

United mendominasi babak berkenaan dan Mata nyaris menggandakan kelebihan sejurus selepas gol pembukaan United tetapi rembatannya daripada bola hantaran Young berjaya diselamatkan.

Bagaimanapun United bernasib baik kerana terlepas daripada tuntutan yang kuat bagi tendangan penalti pada pertengahan babak pertama apabila Daley Blind, yang bermain di pertahanan tengah bersama Phil Jones, menjatuhkan Miguel Samudio bagi apa yang kelihatan seperti tendangan penalti yang jelas.

United terus mencipta peluang yang lebih baik dan Depay mensia-siakan peluang keemasan pada minit ke-37 apabila dia memilih untuk merembat dari tepi kotak penalti dan tidak memberi bola kepada Young yang tidak dikawal.

Rembatan Depay disekat.

Rooney juga nyaris menjaringkan gol enam minit sebelum waktu rehat, tetapi rembatannya tersasar sipi selepas satu lagi serangan balas oleh United.

Van Gaal membuat perubahan pada waktu rehat, dan menurunkan kesebelasan utama yang baharu semua untuk babak kedua dan memberi penampilan pertama kepada Bastian Schweinsteiger.

Pemain muda dari Brazil Andreas Pereira melakukan penampilan yang menarik perhatian, malah hampir menggandakan kelebihan dengan satu rembatan dari sudut yang tersasar sedikit selain membuat hantaran lintang kepada Adnan Januzaj yang gagal disudahkan oleh pemain antarabangsa Belgium itu.

United akan pergi ke California selepas ini di mana mereka akan menentang San Jose Earthquakes pada Selasa ini sebelum menentang Barcelona pada 25 Julai.

Mereka menamatkan kempen Piala Juara-Juara Antarabangsa dengan perlawanan menentang Paris Saint-Germain di Chicago pada 29 Julai. — AFP

Advertisement