Anda di sini

Milner bantu Liverpool catat kemenangan 2-1

Advertisement

BRISBANE: Rekrut baharu James Milner menjaringkan gol kemenangan selepas Liverpool bangkit setelah ketinggalan kepada satu gol awal untuk menewaskan kelab Brisbane Roar dari Australia 2-1 dalam satu perlawanan pramusim di Brisbane kelmarin.

Milner, pemain tengah England yang menyertai Liverpool daripada pencabar dalam Liga Perdana Manchester City dengan perpindahan percuma pada bulan lepas, menyudahkan jaringan dengan baik walaupun dikelilingi pemain pertahanan Roar untuk menjaringkan gol pertamanya untuk kelab baharunya pada minit ke-75.

Pasukan ‘The Roar’, dalam perlawanan pertama mereka di bawah jurulatih baharu dan bekas penyerang ‘The Socceroos’ John Aloisi, kelihatan setanding dengan pasukan Liverpool yang tidak tajam sebelum gergasi Inggeris itu mengatasi mereka.

Milner, yang bermain 53 kali untuk negaranya, melorongkan bola menerusi kaki kapten Roar, Jade North, sebelum ia menewaskan penjaga gol Jamie Young.

“Ia adalah menyenangkan hati untuk menjaringkan gol pertama (buat Liverpool), ia adalah penting untuk mempamerkan prestasi yang bagus pada awal pramusim kami,” kata Milner.

Young menyelamatkan beberapa cubaan dengan meyakinkan dan ada banyak sebab untuk bermain dengan baik dalam pertemuannya semula dengan pengurus Liverpool, Brendan Rodgers, yang merekrutnya ketika remaja ke dalam akademi Reading.

Tidak gusar dengan sokongan yang kuat bagi Liverpool, pasukan ‘The Roar’ membuat kejutan dengan menjaringkan gol pendahuluan selepas 17 minit apabila Dimi Petratos mengelecek Martin Skrtel dan kemudian meledakkan rembatan untuk menewaskan penjaga gol Liverpool Simon Mignolet.

Namun kelebihan Brisbane tidak bertahan lama dan 11 minit kemudian, kedudukan terikat selepas Adam Lallana menjaringkan gol penyamaan.

Lallana berjaya menangkis asakan pemain pertahanan Roar, Jack Hingert, dan kemudian menjumpai sudut atas dengan rembatan yang cantik.

Kualiti Liverpool ternyata jauh lebih tinggi apabila mereka memenangi perlawanan dengan bergaya di babak kedua.

Liverpool memulakan jelajah mereka dengan kemenangan 4-0 ke atas pasukan Thai All Stars di Bangkok pada Selasa lepas dan mereka kekal di Australia untuk menentang Adelaide United di Adelaide pada Isnin ini. — AFP

Advertisement