Anda di sini

5,000 hadiri rumah terbuka Aidilfitri TYT

Advertisement

Masyarakat pelbagai kaum bersatu hati meriahkan rumah terbuka Tun Juhar

 Tun Juhar dan isteri meraikan orang ramai yang hadir pada majlis rumah terbuka Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana negeri semalam. — Gambar Bernama

SELAMAT HARI RAYA: Tun Juhar dan isteri meraikan orang ramai yang hadir pada majlis rumah terbuka Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana negeri semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Hampir 5,000 tetamu  menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahirudin dan isteri, Toh Puan Norlidah Datuk R.M Jasni di Istana Negeri di sini, semalam.

Majlis rumah terbuka bermula jam 10 pagi hingga 1 petang itu dihadiri  masyarakat pelbagai kaum.

Para tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah menarik termasuk makanan istimewa pada Hari Raya seperti sate, ketupat, lemang dan rendang.

Selain menikmati hidangan, para tetamu juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada artis tempatan negeri ini.

Apri Asrir, 30, dari Tawau melahirkan rasa gembira dan teruja kerana dapat berkumpul dengan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini untuk bersama-sama memeriahkan majlis rumah terbuka Aidilfitri itu.

“Kita semua tidak kira bangsa, agama ataupun budaya meraikan Hari Raya ini bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim sebagai satu Malaysia ,” katanya.

Perasaan itu turut dikongsi Chin Foi Soon, 24, dari Penampang yang berkata selain dapat menjamu pelbagai juadah khusus pada Hari Raya, rumah terbuka seumpama itu juga landasan mengeratkan hubungan serumpun pelbagai kaum di Sabah.

Pada majlis itu, Tun Juhar dan isteri turut meluangkan masa bersalaman dengan para tetamu, selain memotong kek Aidilfitri bermotifkan masjid, sebelum diagihkan kepada tetamu.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan isteri Datin Seri Faridah Tussin.

Antara tetamu kenamaan lain termasuk Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak serta beberapa menteri Kabinet negeri dan persekutuan. — Bernama

Advertisement