KUALA LUMPUR: Atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mahu mengulangi pencapaian meraih pingat emas pada Kejohanan Olahraga Paralimpik Dunia 2015 di Doha, Qatar pada Oktober ini.
Anak jati Gombak, Selangor itu yang meraih emas pada kejohanan sama pada 2013 di Lyon, Perancis berkata dia sudah menjalani latihan intensif sejak beberapa bulan lepas bagi menghadapi kejohanan dwitahunan berkenaan selain memendekkan cuti Hari Raya Aidilfitri.
“Saya hanya bercuti selama beberapa hari di Gombak dan Negeri Sembilan sebelum kembali menyambung latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan itu,” katanya.
Muhammad Ziyad, 25, berkata sekembalinya dari Doha, dia akan menyertai edisi kelapan Sukan Para Asean 2015 di Singapura pada Disember ini, namun tidak meletakkan sasaran khusus bagi temasya sukan itu.
Untuk rekod, Muhammad Ziyad meraih dua emas menerusi acara lontar peluru dan merejam lembing selain pingat perak kategori F20 dalam acara lempar cakera pada edisi ketujuh di Naypyitaw, Myanmar pada 2013.
Pemenang pingat gangsa acara lontar peluru di Sukan Paralimpik London 2012 itu berkata dia tidak mempunyai pantang larang melibatkan makanan pada Aidilfitri namun tetap menjaga kuantiti pemakanan yang diambil. — Bernama