Anda di sini

Anson, Lim bakal bersaing golf di AS

Advertisement

KUCHING: Anson Yeo, 9, dan Lim Beng Kiat, 15, pemain golf junior Sarawak bakal bersaing bersama 500 pemain golf muda dari seluruh dunia merebut gelaran Kejohanan Remaja Dunia 2015 pada 23 hingga 25 Julai ini di Pinehurt Resort, Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS).

Anson berasal dari Kuching mencipta sejarah tersendiri dalam sukan golf Sarawak apabila beliau pemain golf paling muda bernaung di bawah Kesatuan Golf Sarawak (KGS) bertarung pada kejohanan junior bertaraf dunia itu.

Manakala Lim berasal dari Miri dijemput menyertai kejohanan itu selepas memenangi Kejohanan Golf Kanak-Kanak Dunia 2014 di Le Grendeur Golf Resort, Johor Bahru menyaksikannya memenangi kategori umur 13-14 tahun.

Sementara Anson merangkul gelaran bagi kategori 10 tahun dan ke bawah dalam kejohanan sama.

Menurut Presiden KGS, Hoan Kee Hock pencapaian kedua-dua pemain golf junior negeri itu layak mendapat sokongan serta pengiktirafan persaudaraan golf tempatan kerana mempamerkan bakat amat jarang ditemui di Sarawak.

“Kami sangat berbangga atas pencapaian Anson dan Lim. Mereka menunjukkan kita semangat Sarawak yang sebenar dengan menonjolkan standard permainan golf di sini adalah setanding di peringkat antarabangsa,” katanya.

Hoan memaklumkan penyertaan Anson dan Lim pada kejohanan di AS mendapat sokongan serta penajaan daripada kerajaan negeri menerusi Kementerian Pembangunan Sosial (KPS).

Untuk rekod, Anson mula berjinak-jinak dengan sukan golf sejak berusia enam tahun manakala Lim ketika berumur tujuh tahun.

Kedua-duanya mempunyai pengalaman bersaing dengan pencabar-pencabar mereka dari luar negara dalam Kejohanan Junior Piala Ketua Menteri Sarawak.

Bagaimanapun, beraksi di luar negara dan AS adalah pengalaman sulung buat mereka.

Advertisement