Anda di sini

SBBA giat mantapkan barisan pelapis panel penghakiman

Advertisement

KUCHING: Persatuan Bina Badan Negeri Sarawak (SBBA) giat memantapkan barisan pelapis bagi panel penghakiman sukan itu.

Menurut presidennya, Datuk Wee Hong Seng memiliki hakim-hakim yang bertauliah adalah sama penting dengan mempunyai skuad bina badan yang cemerlang.

“Sukacita saya maklumkan bahawa semua enam pegawai yang telah kami hantar untuk menduduki peperiksaan penghakiman bina badan di bawah kuat kuasa Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) di Labuan pada Mei lalu disahkan lulus.

“Ini bermakna mereka diiktiraf layak untuk menjadi panel juri bagi mana-mana pertandingan bina badan di Malaysia.

“Enam orang mungkin satu jumlah yang kecil, tetapi kita mesti bermula seawal mungkin. Oleh itu, saya amat menggalakkan warga sukan Sarawak yang meminati pelbagai aspek bina badan agar menduduki peperiksaan penghakiman seterusnya di Sibu pada tahun hadapan serentak dengan Kejohanan Mr Malaysia 2016.

Untuk makluman lanjut, mereka boleh hubungi urus setia di bawah penyeliaan, Andy Ismail.

“Pintu SBBA sentiasa terbuka untuk semua,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama SBBA di sini malam kelmarin.

Program itu juga diadakan untuk meraikan pencapaian skuad Sarawak meraih gelaran Kontinjen Terbaik buat kali kedua berturut-turut pada Kejohanan Bina Badan Mr Malaysia Ke-46 di Labuan pada Mei lalu serta kejayaan Awang Mohamad Azizul Ghani yang dinobatkan sebagai ‘Juara Antara Juara’ tahun ini.

Dalam ucapan ringkasnya, Wee yang juga Naib Presiden MBBF menjelaskan bahawa prestasi itu bukanlah mengenai kemenangan semata-mata.

“Ia sebenarnya adalah pemangkin kepada SBBA untuk bekerja lebih keras terutamanya Sarawak menggalas tanggungjawab menganjurkan Mr Malaysia seterusnya di Sibu pada 20 hingga 23 Mei tahun hadapan,” ujar beliau.

Wee berkata, beliau akan berangkat ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat untuk berbincang dengan MBBF mengenai usul untuk menghantar lebih ramai atlet bina badan Sarawak ke kejohanan antarabangsa.

“Sesungguhnya, saya yakin akan kemampuan ‘badang-badang Sarawak’ untuk menyerlah dan mengharumkan nama negara di persada global.

“Kita sememangnya memiliki bakat-bakat yang berpotensi dan melihat kepada sejarah bina badan Sarawak sendiri, kita sudahpun melakar beberapa kejayaan besar di peringkat antarabangsa.

“SBBA yakin ‘Sarawak Boleh’,” ujar beliau sambil merakamkan penghargaan SBBA buat Kementerian Pembangunan Sosial, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, penaja serta rakan media atas sokongan berterusan untuk sukan bina badan negeri ini.

Pada majlis sama, Wee mewakili SBBA mengucapkan salam takziah buat keluarga bekas setiausaha SBBA, Sylvester Goh yang telah menghembuskan nafas terakhirnya Sabtu lalu pada umur 59 tahun akibat kanser paru-paru.

“Semasa hayatnya, Goh juga sering menjadi hakim dalam beberapa kejohanan bina badan di Sarawak. Kehilangan beliau amat dirasai kalangan atlet dan pegawai senior sukan ini. Kami di SBBA berharap agar keluarga mendiang tabah mengharungi tempoh berkabung,” kata beliau.

Advertisement