Anda di sini

Masih ada enggan lapor kehadiran PATI

Advertisement

ESSCom bertekad menyelami punca sebenar dialami sesetengah pemimpin masyarakat

SANDAKAN: Masih ada ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) tidak melaporkan kehadiran pendatang tanpa izin (PATI) di kawasan mereka meskipun berkali-kali diminta berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

Sehubungan itu, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bertekad untuk menyelami punca sebenar sesetengah pemimpin masyarakat peringkat akar umbi di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Timbalan Pengarah Perisikan ESSCom ACP Hashim Justin berkata langkah itu penting bagi memudahkan pemantauan keselamatan dan pelaksanaan operasi bersepadu bagi membersihkan ESSZone daripada PATI.

“Pihak ESSCom telah mengadakan banyak pertemuan dengan komuniti ESSZone, termasuk ketua kampung dan pengerusi JKKK bagi menerangkan peranan mereka untuk melaporkan kehadiran PATI di kawasan masing-masing.

“Namun apabila operasi bersepadu yang diselaraskan ESSCom dilaksanakan di kawasan mereka, ramai PATI ditangkap kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Premis, di mana PATI ini ditangkap pula terletak tidak jauh dari rumah ketua kampung atau pengerusi JKKK. Sebab itu, Esscom perlu menyelami punca sebenar perkara ini berlaku…ini memerlukan lonjakan paradigma dan kejujuran semua pihak,” katanya.

Hashim berkata demikian ketika menyampaikan taklimat keselamatan pada majlis berbuka puasa dan penyampaian bantuan baitulmal daripada Koperasi Pembangunan Desa untuk golongan kurang bernasib baik bagi mukim Sukau yang disempurnakan oleh anggota Dewan Undangan Negeri Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman, di sini, kelmarin.

Beliau berkata penglibatan mereka secara menyeluruh, termasuk ketua kampung dan pengerusi JKKK amat penting bagi memastikan tidak ada PATI atau tali barut yang boleh memudah cara penjenayah rentas sempadan melakukan aktiviti penculikan di ESSZone seperti yang berlaku sebelum ini.

“ESSCom kini berdepan ancaman yang datang dari luar dan dari dalam negeri kita sendiri. Kita perlu menang atau tangani ancaman dari dalam, terutama PATI yang menjadi tali barut dan pemberi maklumat kepada penjenayah, barulah kita boleh mengekang jenayah rentas sempadan dan pencerobohan bersenjata atau ancaman luar dengan lebih berkesan,” katanya.

Dalam hal ini, Hashim mengulangi gesaannya agar kerajaan mewajibkan semua ketua kampung dan pengerusi JKKK di ESSZone menyediakan profil komposisi penduduk, termasuk bilangan sebenar PATI di kampung mereka.

Beliau turut berharap agar kementerian negeri yang bertanggungjawab melantik ketua kampung dan pengerusi JKKK supaya dapat melakukan penapisan semula yang rapi bagi memastikan tidak ada dalam kalangan mereka yang bersekongkol atau melindungi PATI untuk mengaut keuntungan dan kepentingan peribadi.

“Kita tidak seharusnya menggadaikan kedaulatan negara…umpama harapkan pagar, pagar makan padi. Ketua kampung dan pengerusi JKKK yang menjadi benteng utama kita di peringkat akar umbi semestinya tahu siapa orang baharu atau asing di kampung mereka,” katanya.

Beliau menegaskan ada dalam kalangan mereka yang menerima ‘wang kopi’ daripada PATI sebagai balasan dibenarkan membina rumah setinggan di kawasan kampung terbabit. — Bernama

Advertisement