Anda di sini

Kempen kesedaran gempa bumi bermula pertengahan Ogos

Advertisement

SANDAKAN: Kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah akan melaksanakan kempen kesedaran gempa bumi sebagai tindakan susulan selepas bencana itu berlaku pada 5 Jun lepas.

Setiausaha Keselamatan Negeri Rodzi Md Saad berkata, kempen kesedaran itu akan bermula pada pertengahan Ogos ini dengan menyasarkan penduduk di kawasan yang berisiko terlibat gempa bumi.

“Penduduk Kampung Kiau di Ranau yang paling terdedah, akan menjadi kumpulan sasar pertama untuk kempen ini yang melibatkan sesi ceramah mengenai kejadian, tanda-tanda dan geologi gempa bumi serta langkah-langkah keselamatan diri selain latihan.

“Kesedaran masyarakat itu penting dan mereka perlu tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya gempa bumi berlaku,” katanya ketika sidang media di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga di sini, kelmarin.

Menurut beliau, sesi ceramah akan melibatkan Universiti Malaysia Sabah, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selain Majlis Keselamatan Negara.

Manakala, latihan akan dikendalikan oleh JBPM, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta agensi-agensi mencari dan menyelamat yang lain.

Selain kempen kesedaran, Rodzi memberitahu tindakan lain yang turut diambil termasuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) pengurusan bencana agar merangkumi bencana gempa bumi.

Advertisement