Anda di sini

Jangan jadikan ‘keliru’ skim kawalan harga sebagai alasan

Advertisement
 Jainab (tengah) membuat tinjauan harga barang di Pasar Umum Sandakan, kelmarin.

TINJAU: Jainab (tengah) membuat tinjauan harga barang di Pasar Umum Sandakan, kelmarin.

Peniaga sepatutnya faham kerana skim dilaksana tiap tahun

SANDAKAN: Alasan segelintir peniaga yang keliru dengan skim kawalan harga barang tidak boleh diterima berikutan skim itu dilaksanakan setiap tahun.

Malah, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, skim itu dilaksanakan beberapa kali dalam setahun mengikut perayaan seperti Hari Raya, Hari Deepavali dan Hari Krismas.

“Peniaga di pasar bukannya baharu sehari dua berniaga, sebaliknya sudah bertahun-tahun. Dan skim kawalan harga barang juga, kita lancarkan pada setiap perayaan. Oleh itu, mereka sepatutnya sudah faham dengan skim ini.

“Selain itu, peniaga juga perlu tahu bahawa meletakkan tanda harga merupakan tanggungjawab mereka. Bagaimanapun, setiap kali saya membuat tinjauan di pasar-pasar, pasti timbul isu ini,” katanya kepada media selepas tinjauan di Pasar Umum Sandakan di sini, kelmarin.

Dalam tinjauan itu, beliau mendapati terdapat peniaga yang tidak mempamer tanda harga dan sijil halal selain meletakkan tanda harga yang tidak jelas dan mengelirukan.

“Ketika meninjau di bahagian gerai ikan, saya mendapati ada penjual yang meletakkan dua harga berbeza pada sekeping tanda harga. Selain itu, ada juga penjual yang tidak mempunyai dokumen diri.

“Oleh itu, kita mahu tindakan tegas diambil terhadap mana-mana peniaga yang tidak mengikut peraturan ditetapkan. Kita bukan berniat jahat atau mahu menjejaskan perniagaan mereka, kita cuma mahu  hak pengguna terpelihara,” jelasnya.

Advertisement