
PRIHATIN: Khalid bertanya khabar kepada isteri seorang anggota polis yang terpaksa menggunakan khemah sebagai penempatan sementara selepas kejadian gempa bumi pada awal Jun lepas, di Ranau semalam. — Gambar Bernama
RANAU: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau menerima sumbangan berupa wang tunai RM55,660 bagi meringankan beban mereka yang ditimpa musibah gempa bumi Jun lalu.
Bantuan menerusi Tabung Kebajikan PDRM, Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) serta Kelab Putera 1Malaysia diberikan kepada 441 anggota daripada 139 keluarga dan 30 anggota bujang yang dipindahkan ke khemah sebagai penempatan sementara berikutan kediaman terjejas akibat gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter itu.
Setiap pegawai dan anggota berkeluarga menerima RM200, bagi kesemua keluarga dan anggota bujang RM100 manakala 274 anak polis menerima RM40 seorang yang disampaikan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada majlis penyampaian sumbangan bencana gempa bumi kepada warga IPD Ranau di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Awang Sahari EM Nadzeer dan Ketua Polis Daerah Ranau DSP Mohd Farhan Lee Abdullah.
Berucap pada majlis itu, Khalid berharap sumbangan tersebut mampu memberi sedikit kelegaan kepada warga IPD Ranau dalam persediaan menyambut Hari Raya yang bakal menjelang tidak lama lagi.
“Bersama-sama kita berdoa semoga rakan-rakan yang ditimpa musibah gempa bumi ini terus cekal dan tabah dalam menghadapi dugaan yang mendatang,” katanya.
Khalid turut memberikan penghargaan kepada semua warga polis di IPD Ranau atas komitmen dalam melaksana serta meneruskan tugas-tugas menyelamat dan menjaga harta benda juga nyawa mangsa gempa lain dengan cemerlang.
“Dedikasi yang ditunjukkan ini amat membanggakan pasukan kita sekali gus mampu merapatkan lagi hubungan (antara polis dan masyarakat) serta menaikkan imej PDRM di mata masyarakat,” katanya.
Selepas majlis, Khalid meluangkan masa melawat khemah penempatan sementara warga IPD Ranau dan meninjau bangunan kediaman yang terjejas akibat gempa bumi, kemudian ke Loji Rawatan Air Kg Kimolihing sebelum ke Masjid Daerah Ranau. — Bernama