Anda di sini

Warga emas maut kereta dipandu terbabas dan melanggar batang paip

Advertisement
 Batang paip pecah selepas dilanggar kereta Proton Saga mangsa berdekatan Restoran BTC di Kolombong kelmarin.

PECAH: Batang paip pecah selepas dilanggar kereta Proton Saga mangsa berdekatan Restoran BTC di Kolombong kelmarin.

KOTA KINABALU: Seorang warga emas maut dalam kemalangan selepas kereta Proton Saga yang dipandu terbabas ke jalan bertentangan, seterusnya melanggar batang paip berdekatan Restoran BTC di Kolombong, di sini kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Albert Limbang Pelang, 66, berasal Kampung Bontoi, Tamparuli dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas insiden jam 7.10 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, ketika kejadian kereta mangsa dari arah Jalan Tuaran Bypass menghala ke Inanam melalui Jalan Burung Kalito dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.

“Pelanggaran kuat pada batang paip menyebabkan kepala pemandu terhantuk ke cermin depan sebelum disahkan meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat dan ahli keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai perkara ini,” katanya sambil menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang pengawal keselamatan Wisma Inti Utama berusia 55 tahun maut selepas terjatuh di dalam tandas di tingkat satu bangunan berkenaan jam 8.20 pagi Isnin.

Chandra berkata, kejadian itu disedari rakan sekerja mangsa dan segera melaporkan kepada anggota polis bahagian Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang bertugas ketika itu.

“Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala akibat terjatuh dan pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika diperiksa.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa sudah bekerja di bangunan terbabit sejak dibuka selain pengesahan anak mangsa yang mengatakan mangsa sebelum ini mengalami sakit gastrik yang kronik selain menghidap tibi,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk tindakan selanjutnya dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut (SDR) berikutan tiada unsur jenayah yang terbabit dalam insiden itu.

Advertisement