KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat bagaimana The Wall Street Journal (WSJ) mendapat maklumat perbankan yang didakwa ada kaitan dengan dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), secara tidak sah dan tanpa kebenaran Bank Negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 susulan tindakan media berkenaan mendedahkan beberapa maklumat perbankan yang mendakwa dana 1MDB dimasukkan ke dalam akaun bank Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.
“Siasatan terhadap 1MDB itu dijalankan oleh pasukan petugas khas, namun kita juga akan jalankan siasatan berhubung kebocoran maklumat perbankan yang membabitkan isu itu.
“Ini kerana kita menerima banyak laporan polis berhubung kebocoran maklumat perbankan dan sekiranya perkara ini dibiarkan, ia boleh mengancam ekonomi negara,” katanya pada pemberita selepas melancarkan kempen Ops Selamat 7/2015 bersempena Aidilfitri di KL Sentral di sini semalam.
Khalid berkata polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan sama ada terdapat sindiket menjual maklumat perbankan kepada pihak tertentu oleh mereka yang mempunyai akses kepada maklumat perbankan.
Katanya siasatan di bawah akta sama turut dijalankan terhadap mana-mana pihak yang dikesan terbabit dalam membocorkan maklumat perbankan termasuk pihak bank, pegawainya atau sesiapa sahaja yang tidak mendapat kebenaran daripada Bank Negara.
Jumaat lepas, The Wall Street Journal menyiarkan laporan yang mendakwa sejumlah hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.
Pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan WSJ itu dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik.
1MDB pula juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menyalurkan dana kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sementara itu, Khalid mengesahkan bahawa kes pembunuhan pengasas Ambank Hussain Ahmad Najadi yang ditembak mati di Bukit Bintang pada Julai 2013 tidak mempunyai kaitan dengan penyiasatan 1MDB.
Beliau berkata laporan sebuah blog yang mendakwa bahawa kes pembunuhan Hussain Ahmad Najadi dengan penyiasatan 1MDB adalah tidak bertanggungjawab dan tidak berasas, dan ia hanya merupakan satu fitnah.
“Saya ingin membuat pengesahan bahawa Hussain Ahmad Najadi tidak pernah membuat sebarang laporan polis pada 26 Okt mengenai kemasukan sejumlah wang dalam Bank Negara seperti yang dilaporkan dalam blog tersebut,” katanya.
Katanya kes pembunuhan pengasas Ambank itu telah selesai apabila pembunuh telah pun dihukum dan pihak polis mengetahui motif sebenar pembunuhan tersebut.
Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan terhadap punca berita tersebut dan akan mengambil tindakan terhadap perkara tersebut. — Bernama