KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengambil langkah pertama tindakan undang-undang terhadap The Wall Street Journal berkaitan artikel yang mendakwa Perdana Menteri menyelewengkan hampir AS$700 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bertindak bagi pihaknya ialah Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak yang menghantar surat semalam kepada Dow Jones, penerbit WSJ, meminta pengesahan tentang pendiriannya berkaitan dakwaan dalam artikel-artikel itu yang disiarkan pada 2 dan 6 Julai.
Mereka berkata artikel-artikel itu mengandungi ‘a plethora of convoluted, scumlous and vague allegations against our client’ (pelbagai tuduhan yang berbelit, ofensif dan kabur terhadap anak guam kami).
“Dalam hal ini, kami diarahkan oleh anak guam kami untuk mendapatkan pengesahan sama ada ini adalah pendirian kamu seperti yang dinyatakan dalam artikel-artikel itu bahawa anak guam kami menyelewengkan hampir AS$700 juta daripada 1Malaysia Development Berhad”.
Para peguam itu berkata artikel-artikel berkenaan “mencadangkan secara kolektif bahawa kamu tidak pasti akan ‘sumber asal wang itu dan apa yang terjadi terhadap wang berkenaan’ sementara dari satu segi, inti pati keseluruhan artikel-artikel itu mencetuskan tanggapan jelas anak guam kami telah menyelewengkan kira-kira AS$700 juta milik 1MDB”. — Bernama