Anda di sini

Tiada keperluan henti sementara pengeluaran kad pengenalan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk menghentikan sementara pengeluaran MyKad kerana sistem yang diguna pakai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masih selamat dengan ciri-ciri keselamatan tinggi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata berdasarkan maklumat awal mendapati sistem JPN tidak digodam untuk menghasilkan MyKad palsu seperti yang didakwa.

“Tidak ada berbangkit soal keselamatan JPN kerana hasil maklumat saya terima tidak ada orang guna sistem JPN untuk menghasilkan kad pengenalan palsu,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar berhubung cadangan Anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Irmohizam Ibrahim supaya kerajaan menghentikan sementara pengeluaran MyKad sehingga ciri keselamatan kad itu dipertingkatkan agar tidak dipalsukan.

Cadangan itu berikutan SPRM menahan tiga individu termasuk yang disyaki mempunyai akses kepada sistem JPN ketika memproses kad pengenalan untuk pelanggan warga China ketika serbuan pada tengah malam Sabtu lepas.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata kewujudan kad pengenalan palsu itu tidak mempunyai kaitan dengan sistem JPN dan berkemungkinan sindiket pengeluaran kad pengenalan palsu itu mempunyai teknologi tinggi yang menyerupai sistem JPN.

Susulan dakwaan itu, beliau berkata pihaknya dijangka membuat laporan polis supaya siasatan lanjut dapat dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ditanya mengenai kemungkinan penglibatan orang dalam khususnya JPN, Wan Junaidi berkata sesiapa sahaja yang didapati terlibat dalam kes ini akan dikenakan tindakan sewajarnya. — Bernama

 

Advertisement