Anda di sini

Penjawat awam mangsa gempa bumi Sabah boleh tuntut insurans

Advertisement

Tuntutan insurans boleh dilakukan sesiapa yang ada akaun dengan BPP

KUALA LUMPUR: Penjawat awam yang menjadi mangsa gempa bumi di Sabah baru-baru ini, dinasihatkan mengemukakan tuntutan insurans bencana alam kepada panel insurans yang dilantik.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan semalam berkata tuntutan insurans itu boleh dilakukan oleh mereka yang mempunyai akaun dengan Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) Perbendaharaan.

Tuntutan insurans itu meliputi perkara berikut:

i). Kerosakan struktur bangunan seperti dinding, lantai, atap, siling dan sebagainya.

ii). Pecah rumah dengan tujuan mencuri semasa kejadian gempa bumi.

iii). Perbelanjaan hotel atau rumah sewa dalam tempoh baik pulih yang tidak dapat didiami.

iv). Kecederaan orang awam (pihak ketiga) akibat kemalangan di dalam rumah, ia tertakluk kepada polisi insurans yang dipilih.

Menurut kenyataan itu, mangsa boleh membuat tuntutan dengan menghubungi syarikat insurans atau takaful yang terbabit.

Sehubungan itu, BPP berharap mangsa yang terlibat segera mengemukakan tuntutan insurans mereka untuk mempercepatkan proses pembayaran pampasan.

Pada 5 Jun lepas, gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter menggegarkan Ranau, Sabah dan mengorbankan 18 nyawa melibatkan 14 pendaki dan empat malim gunung, termasuk warga asing yang sedang melakukan aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu.

Sebanyak 100 gegaran susulan turut direkodkan Jabatan Meteorologi sehingga 28 Jun lepas.

Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan melayari di laman web http://bpp.treasury.gov.my atau menghubungi meja bantuan banjir talian 03-8880 2121. — Bernama

Advertisement