Anda di sini

Tiga lelaki berdepan hukuman mati kerana menculik wanita

Advertisement

MUAR: Tiga lelaki semalam berdepan dengan hukuman mati apabila dituduh di Mahkamah Majistret di sini menculik seorang wanita bagi mendapatkan tebusan sebanyak RM400,000 dalam kejadian pada bulan lepas.

M. Premi Segar, 33, P. Raymond Raj, 21, dan T. Sanjiv Kumar, 20, masing-masing mengaku faham pertuduhan itu apabila kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada mereka.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka dengan niat bersama pada 6 Mei lalu kira-kira pada pukul 10 malam telah menahan seorang wanita berumur 25 tahun di tempat letak kereta Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini, dengan cara melarikannya secara salah.

Kesemua mereka bertindak menahan wanita itu untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak RM400,000, dan dengan itu mereka telah didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (semakan 1989) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, kesemua tertuduh itu boleh dikenakan hukuman mati atau dipenjara seumur hidup, dan jika tidak dikenakan hukuman mati, boleh dikenakan sebatan.

Mahkamah menetapkan 30 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes ber-kenaan. — Bernama

Advertisement