Anda di sini

Mengelilingi dunia dengan hanya bermotosikal

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Kesukaran mendengar dan bertutur untuk berkomunikasi tidak menghalang warga emas dari Jepun, Kohei Hakamada, untuk merentasi enam benua dengan hanya bermotosikal.

Hakamada, 65, dari Yokohama, yang hanya menggunakan bahasa isyarat, menyatakan sehingga ini beliau telah menjejaki 91 negara sejak memulakan pengembaraan solonya lima tahun lalu.

Katanya, kekurangan pada dirinya sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk menjejaki dan mengenali negara-negara lain biarpun hanya secara berseorangan.

“Walaupun saya mempuyai masalah pendengaran tapi saya tetap bersemangat untuk mengembara, dan membuktikan bahawa orang cacat pendengaran seperti saya juga mampu menjelajah ke seluruh dunia seorang diri,” katanya kepada pemberita dengan bantuan perantara ketika ditemui di rumah Persatuan Orang Pekak Terengganu di Batu Buruk di sini.

Menurutnya antara negara yang beliau lawati ialah Korea Selatan, Rusia, Khazakhstan, Turki, Mesir, Thailand dan India, manakala di Malaysia pula beliau telah tiba di Kelantan sejak seminggu lalu dan ini kali pertama sampai di Terengganu.

Hakamada berkata beliau akan meneruskan pengembaraannya ke Pahang dan seterusnya ke Sabah dan Sarawak sebelum ke Singapura dan seterusnya Australia.

Bapa kepada dua orang anak ini menjangka akan menamatkan misi kembara mengelilingi dunia itu pada 2018 kerana terdapat beberapa buah negara lagi yang beliau masih belum jejaki.

Hakamada berkata beliau memilih untuk mengembara secara bermotosikal kerana merasakan ia lebih seronok berbanding perjalanan menaiki bas atau kapal terbang.

“Setelah tiba di sesebuah negara, saya akan menjelajah beberapa tempat di negara tersebut bagi mengenali dengan lebih dekat budaya dan menghirup udara segar di negara itu.

“Kembara dengan pengangkutan lain, tidak seseronok bermotosikal,” katanya.

Hakamada berkata idea untuk mengelilingi dunia ini tercetus selepas beliau menamatkan perkhidmatan di sebuah syarikat percetakan akhbar ketika berusia 60 tahun.

Katanya, beliau mahu menimba ilmu hasil dari pengembaraannya.

“Saya mula bekerja pada usia 30 tahun. Pada usia 60 tahun saya telah pencen dan dengan duit hasil kerja saya itulah saya gunakan untuk menampung perbelanjaan ketika mengembara,” katanya.

Pada mulanya, isterinya Sumie, 64, agak keberatan melepaskannya untuk kembara berseorangan, tetapi disebabkan semangat bersungguh-sungguh isterinya membenarkan dan mereka kerap berhubung menerusi panggilan video atau skype.

Hakamada berkata, beliau akan pulang sesekali ke Yokohama apabila diminta oleh isterinya dan untuk melepaskan rasa rindu kepada keluarganya.

“Sesekali saya akan pulang ke rumah bertemu isteri dan anak…selepas itu saya akan kembali mengembara,” katanya.

Menurut Hakamada, beliau bersyukur kerana setakat ini tahap kesihatannya baik, penglihatannya masih jelas dan tidak mengalami sebarang penyakit. — Bernama

Advertisement