MELAKA: Media memainkan peranan penting dalam membentuk mentaliti rakyat menerusi pelbagai isu selain membantu membangun dan mempromosikan sesebuah negeri dan negara.
Exco Komunikasi dan Koperasi Negeri Datuk Latiff Tamby Chik berkata media juga menjadi pengantara antara kerajaan dan rakyat untuk terus mencapai aspirasi Melaka Maju dan Negeri Bandar Teknologi Hijau.
“Peranan pengamal media atau wartawan di Melaka tidak boleh dinafikan kerana mereka sentiasa bersama kerajaan negeri untuk memberi penerangan dan penjelasan tentang sesuatu isu kepada rakyat.
“Mereka juga dilihat bekerja tanpa mengira masa untuk menyampaikan berita terkini atau kejadian yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis bersama wartawan dan pengamal media Melaka di sini malam kelmarin.
Beliau berkata media efektif media membolehkan kerajaan negeri melalui pelbagai agensi dan pihak berkuasa tempatan menerima pelbagai anugerah termasuk di peringkat antarabangsa.
Justeru katanya wartawan dan pengamal media diminta terus bekerjasama dalam semangat muhibah dan berpasukan untuk kemakmuran dan keharmonian Melaka.
“Kita seharusnya bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran negeri Melaka hari ini yang memberi pandangan positif kepada pelancong sehingga Melaka menjadi sebuah negeri industri pelancongan yang terkenal,” katanya. — Bernama