Anda di sini

APMM kerah 16 anggota kesan empat nelayan hilang di perairan Kemaman

Advertisement

KEMAMAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengerahkan 16 anggota bersama sebuah kapal bagi mencari dan mengesan empat nelayan tempatan yang dilaporkan hilang di perairan Kemaman sejak 21 Jun lalu.

Ketua Penguatkuasa Pangkalan Maritim Kemaman Leftenan Komander Maritim Norhafizi Mohd Rafik berkata pihaknya mula melancarkan gerakan bagi menjejaki kesemua mangsa bermula jam 1 petang kelmarin.

Katanya operasi pencarian ini diperluaskan dalam radius 30 batu Nautika dari Perairan Kemaman kerana dikhuatiri bot yang dinaiki mangsa hanyut.

“Sebaik menerima laporan pihak polis, kita terus memaklumkan kepada kapal ronda KM Gemia yang sedang melakukan tugas rondaan di perairan negara bagi mengesan bot nelayan kelas B tersebut.

“Dalam operasi yang memasuki hari kedua ini kita masih gagal mengesan dan tidak menemui sebarang petunjuk berhubung bot yang dinaiki empat bersaudara itu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Menurutnya APMM tidak menolak kemungkinan bot berkenaan mengalami kerosakan pada bahagian enjin sehingga dihanyutkan arus.

Norhafizi berkata pihaknya bersama nelayan tempatan juga telah melakukan pencarian di beberapa lokasi yang biasa mangsa menangkap ikan, namun jejak mangsa gagal dikesan.

Kesemua mangsa yang dikenali sebagai Azuari Muda@Abu Bakar, 41; Mohd Zawawi Seman, 36; Mohd Nasri Ab Wahab, 29; dan Ab Wahab Tekak, 57, berasal dari Kemaman telah keluar ke laut pada jam 6 pagi 21 Jun lalu.

Justeru pihaknya akan terus mempertingkat operasi pencarian ini dalam skala lebih besar dengan meminta bantuan APMM Daerah Maritim 9 Kuala Terengganu dan ia bergantung kepada keperluan.

Beliau berkata APMM juga telah memaklumkan kepada pihak pelantar minyak serta nelayan tempatan supaya melaporkan kepada pihaknya jika terlihat bot terbabit. — Bernama

Advertisement