Anda di sini

PMM kenal pasti dua hingga tiga dalang terlibat rompakan MT Orkim Harmony

Advertisement
 Ahmad Puzi berganding tangan dengan Abdul Rasyid (kiri) dan U.K  Agung (kanan) pada sidang media kerjasama APMM dan Western Fleet Quick Response (WFQR) dalam membasmi jenayah rentas sempadan di Putrajaya semalam. — Gambar Bernama

KERJASAMA: Ahmad Puzi berganding tangan dengan Abdul Rasyid (kiri) dan U.K Agung (kanan) pada sidang media kerjasama APMM dan Western Fleet Quick Response (WFQR) dalam membasmi jenayah rentas sempadan di Putrajaya semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Risikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengenal pasti dua hingga tiga dalang dipercayai terlibat dalam rompakan kapal tangki MT Orkim Harmony.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat dalang rompakan itu termasuk kewarganegaraan dan pergerakan mereka.

Lapan suspek yang ditahan di Vietnam perlu diekstradisi untuk mendapatkan maklumat dan mempercepatkan proses siasatan untuk membawa dalang terbabit ke muka pengadilan, katanya.

Bercakap dalam sidang media di sini semalam, Ahmad Puzi berkata pihaknya akan mendapatkan analisis data komunikasi daripada telefon satelit dan telefon bimbit yang digunakan lapan penjenayah itu.

“Ini merupakan masalah rumit yang boleh diselesaikan dan mengaitkannya dengan pelbagai maklumat yang perlu kita atur. Kita perlu mengumpul dan mensabitkan mereka.

“Kita perlu masa, penelitian dan kerjasama semua pihak termasuk Interpol, negara-negara jiran, masyarakat untuk tampil memberikan maklumat untuk memperkukuhkan dapatan dan menentukan individu yang terlibat,” katanya.

Turut hadir Komandan Gugus Keamanan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI) Wilayah Barat, Abdul Rasyid Kacong dan Ketua Keamanan Laut Zon Maritim Barat, U.K Agung.

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada jam 8.57 malam, 11 Jun lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Lapan suspek kes kapal tangki ditahan pihak berkuasa Vietnam, berhampiran Pulau Tho Chu, selatan Vietnam pada 19 Jun.

Ahmad Puzi berkata siasatan rompakan MT Orkim Harmony sudah 50 peratus selesai termasuk semua keperluan forensik telah dilaksanakan.

“Sehubungan itu, 50 peratus lagi kita kena tunggu mereka (lapan penjenayah) diekstradisi dengan kelengkapan bagi mempercepatkan siasatan,” katanya.

Ahmad Puzi berkata tujuh kes jenayah rompakan laut/pelanunan berlaku di Laut China Selatan pada tahun ini yang terbahagi kepada dua jenis kes rompakan iaitu berdasarkan peluang manakala satu lagi adalah jenayah terancang iaitu rompak curi minyak di mana ia melibatkan kapal dirampas sementara menunggu ‘kapal hantu’ untuk memindahkan minyak.

Beliau berkata siasatan menunjukkan jenayah terancang rompak dan curi di-dalangi sindiket yang merangkumi pemain seperti dalang, perekrut perompak, pemberi maklumat, perompak, kapal hantu dan pembeli.

Pada majlis yang sama, Abdul Rasyid dan U.K Agung memberi jaminan untuk me-neruskan kerjasama rapat termasuk berkongsi maklumat dan membangunkan modal insan dengan APMM untuk mencegah rompakan dan menjamin keselamatan di Laut China Selatan. — Bernama

Advertisement