Anda di sini

Sasaran satu pingat emas di Universiade realistik: Hazally

Advertisement

PUTRAJAYA: Sasaran satu pingat emas pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Gwangju, Korea Selatan dari 3 hingga 14 Julai ini adalah realistik, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Universiade bagi kontinjen negara Hazally Jali.

Katanya berdasarkan pencapaian kontinjen Malaysia pada temasya sukan lain membabitkan atlet universiti negara di peringkat antarabangsa iaitu Kejohanan Sukan Universiti Dunia (WUC), sukan badminton dan memanah memiliki rekod cemerlang.

Badminton meraih pingat emas menerusi beregu lelaki, Iskandar Zulkarnain dan Mohd Arif Ab Latif pada WUC di Cordoba, Sepanyol tahun lepas manakala trio memanah wanita negara meraih pingat perak di tempat yang sama pada 2012.

“Prestasi atlet negara sudah tinggi. Berdasarkan kejayaan mereka, ini peluang terbaik atlet negara meraih pingat emas pertama di Universiade.

“Selepas Sukan Olimpik, Universiade adalah sukan kedua terbesar penyertaannya di dunia. Atlet yang terlibat dari seluruh dunia kebanyakannya pernah menyertai Sukan Olimpik,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang oleh Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Nasir Mat Dam kepada Ketua Kontinjen negara Prof Dr Anuar Hassan di sini.

Pembawa Jalur Gemilang, Fatin Nurfatehah Mat Salleh merupakan prospek pingat emas negara di Gwangju, selepas kejayaan cemerlang beliau meraih emas pada Piala Dunia di Shanghai dan tiga pingat emas di Sukan SEA Singapura baru-baru ini, bagi sukan memanah acara compound.

“Namun Iskandar tidak dapat sertai Universiade kali ini kerana tidak mendapat pelepasan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tetapi kita masih mempunyai Mohd Arif Ab Latif dan Zulfadli Zukifli (pemain perseorangan negara),” katanya.

Seramai 111 atlet negara akan mengambil bahagian dalam 15 acara sukan di Gwangju, dan 14 atlet merupakan penyumbang pingat emas di Sukan SEA Singapura, bulan lepas. — Bernama

Advertisement