Anda di sini

Pasukan Bakong merangkul gelaran juara angkat berat

Advertisement

MIRI: Pasukan dari Bakong menggondol gelaran juara selepas memenangi 11 pingat emas, lima perak dan tiga gangsa pada Kejohanan Angkat Berat Antara Pusat di Stadium Tertutup Miri petang kelmarin.

Manakala pasukan tuan rumah naib juara selepas memenangi sembilan pingat emas, lima perak dan gangsa diikuti pasukan Kuching di tangga ketiga selepas mengumpul empat pingat emas dan dua gangsa.

Tempat keempat ialah pasukan dari Tinjar mengumpul tiga pingat emas, lapan perak dan tiga gangsa manakala tempat kelima dimenangi Sibu melalui dua pingat emas, empat perak dan lima gangsa.

Berucap pada majlis penangguhan itu, Menteri Muda pembangunan Belia, Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata pencapaian cemerlang khususnya pasukan dari luar bandar seperti Bakong membuktikan Sarawak mempunyai ramai pemain berpotensi besar untuk digilap dalam pelbagai bidang sukan.

“Kejayaan ini juga membuktikan kita mampu melahirkan atlet di mana-mana sahaja walaupun dalam keadaan kemudahan serba kekurangan yang bukan halangan untuk berjaya sebaliknya satu penggerak membaiki diri,” katanya.

Dr. Rundi berharap Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) giat membantu menggilap bakat-bakat terpendam khususnya dalam sukan angkat berat sekali gus memartabatkan sukan di negeri ini ke peringkat nasional dan antarabangsa.

“Kita berharap melalui prestasi cemerlang ditunjukkan oleh peserta-peserta sepanjang kejohanan itu dapat memberi pingat emas kepada Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA) nanti. Kita berharap pasukan yang dipilih mewakili negeri dapat memberikan kejutan,” katanya.

Pada majlis sama, Dr Rundi turut melancarkan Persatuan Angkat Berat Negeri Sarawak dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Kejohanan selama dua hari bermula 22 Jun itu dianjurkan oleh Persatuan Angkat Berat Sarawak dan MSNS.

Advertisement