Anda di sini

Jurulatih Thailand idaman PSS

Advertisement

Memantapkan persiapan skuad takraw Sarawak bagi hadapi SUKMA XVIII tahun depan

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Skuad sepak takraw Sarawak dalam proses mendapatkan khidmat jurulatih Thailand bagi memantapkan persiapan untuk menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) di sini pada tahun depan.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Datuk Abang Khalid Tan Sri Abang Marzuki berkata pihaknya hanya menunggu lampu hijau dari Perbadanan Sukan Negeri Sarawak (SSC) untuk meluluskan pelantikan jurulatih dari negara Gajah Putih itu.

“Kita sudah mengenal pasti jurulatih terbabit dan namanya telah dihantar kepada SSC untuk penilaian selanjutnya.

“Sebaik diluluskan, jurulatih terbabit bersama jurulatih lain akan memulakan tugas melaksanakan program pembangunan yang telah kita rancangkan,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat bersama Ahli-ahli Majlis Tertinggi (AMT) PSS di sini Sabtu lalu.

Selain jurulatih Thailand, PSS juga telah melantik jurulatih kebangsaan kelahiran Sarawak, Nurudin Pawi bagi membantu melatih atlet negeri khususnya sebagai persediaan menghadapi SUKMA 2016 nanti.

Menurut Abang Khalid, fokus utama kedua-dua jurulatih berkenaan sebaik memulakan tugas adalah mencungkil bakat-bakat baharu di empat pusat pembangunan sepak takraw di Kuching (3) dan Betong (1).

“Kita percaya kehadiran Nurudin dan jurulatih dari Thailand itu akan menguatkan peluang Sarawak untuk meraih emas pada temasya SUKMA di sini tahun depan.

“Selain itu, kita juga berharap khidmat mereka dapat membawa sepak takraw negeri ke satu tahap yang amat disegani dan dihormati di negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Khalid berkata PSS akan memulakan penganjuran beberapa kejohanan peringkat bahagian dan negeri sepanjang tahun ini.

Ia bermula dengan penganjuran Per tandingan Sepak Takraw Piala Datuk Seri Fadillah Yusof bawah 16 dan 20 tahun yang akan diadakan di empat zon seluruh negeri.

Kuching menjadi venue pertama kejohanan pada 7- 9 Ogos disusuli di Sri Aman dan Miri manakala final akan berlangsung di Sibu pada 18- 20 September depan.

PSS juga akan menganjurkan Piala Borneo di Miri pada 8-11 Oktober termasuk kejohanan berprestij, Piala Sarawak bagi merebut Piala Ketua Menteri pada 11-15 November di Betong.

Bagi memantapkan persiapan atlet, PSS akan menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Pra-SUKMA, Belia Kebangsaan pada 15-20 Disember akan datang.

Pada masa sama, PSS mahu memperbanyak kursus kejurulatihan dan pengadil sebagai persiapan menghadapi SUKMA di Sarawak tahun depan.

Advertisement