Anda di sini

Operasi bersepadu MKN tahan 266 PATI di Kota Kinabalu dan Penampang

Advertisement

KOTA KINABALU: Sebanyak 266 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di Kota Kinabalu dan Penampang dalam operasi bersepadu selama dua hari dilaksanakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah.

Setiausaha MKN Sabah Mohd Rodzi Md Saad berkata operasi yang berakhir petang Sabtu itu telah memeriksa 589 orang yang disyaki sebagai PATI dan daripada jumlah itu, 351 orang ditahan untuk pemeriksaan lanjut di pusat pemeriksaan dokumentasi.

Menurutnya, selepas tapisan dijalankan, 266 daripada mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Peraturan-Peraturan Imigresen kerana kesalahan memasuki dan berada di negeri ini secara haram.

“Kesemua mereka ditahan berumur antara setahun hingga 50 tahun telah dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Kota Kinabalu, sementara menunggu siasatan lanjut selama 14 hari,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata operasi bersepadu yang berterusan ini dilaksanakan sebagai memperlihatkan kesungguhan usaha kerajaan menerusi agensi-agensi penguat kuasa menjadikan Sabah sebagai negeri yang aman dan selamat.

Mohd Rodzi berkata kehidupan di negeri ini seharusnya didominasi oleh penduduk atau rakyat tempatan dan bukannya warga asing yang berada di Sabah secara tidak sah.

Sementara itu, beliau berkata sejak Januari hingga ke hari ini, jumlah PATI yang ditahan reman menerusi operasi bersepadu ialah sebanyak 2,368 orang daripada 5,844 yang diperiksa.

Menurut beliau, operasi bersepadu telah dijalankan secara khusus sejak 2 April tahun lalu, setelah Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Dalam Negeri menyalurkan peruntukan berjumlah RM2.3 juta bagi membolehkan operasi yang lebih berkesan dan berwibawa dilaksanakan.

Mohd Rodzi berkata ketika ini 7,341 PATI sedang ditahan di empat PTS di negeri ini iaitu di Kota Kinabalu (1,821), Papar (2,216), Sibuga, Sandakan (1,417) dan Tawau (1,887).

Menurutnya bagi tempoh Januari hingga semalam  sejumlah 11,545  PATI telah diusir atau dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Daripada jumlah itu, sebanyak 8,710 adalah warganegara Filipina, 2,808 warganegara Indonesia dan bakinya warganegara lain. — Bernama

Advertisement