Anda di sini

Bangunan dua tingkat SRJKC Pei Wen dikosongkan

Advertisement
 Jame meneliti kerosakan serius struktur bangunan dua tingkat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Pew Wen akibat gegaran gempa bumi di Ranau, semalam. — Gambar Bernama

BERBAHAYA: Jame meneliti kerosakan serius struktur bangunan dua tingkat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Pew Wen akibat gegaran gempa bumi di Ranau, semalam. — Gambar Bernama

RANAU: Sebuah bangunan dua tingkat di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Pei Wen di sini dikosongkan berikutan berlaku kerosakan akibat gempa bumi.

Bangunan itu menempatkan enam buah kelas, bilik komputer, bilik sains dan pejabat pentadbiran sekolah.

Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah Datuk Jame Alip berkata arahan itu dikeluarkan selepas bangunan berkenaan didapati tidak selamat diduduki berdasarkan laporan Unit Forensik Jabatan Kerja Raya.

“Sebanyak tiga buah khemah didirikan untuk dijadikan kelas sebelum pembinaan bangunan kelas sementara disiapkan dalam tempoh dua bulan,” katanya ketika ditemui selepas melawat sekolah itu di sini semalam.

Beliau berkata sesi persekolahan di sekolah yang mempunyai 410 murid itu berjalan seperti biasa bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran murid tidak terjejas akibat kerosakan itu.

Sejak kejadian gempa bumi pada 5 Jun lepas, Jame berkata pihaknya menerima laporan sebanyak 60 sekolah di tujuh daerah iaitu Ranau, Kota Belud, Tuaran, Penampang, Kota Kinabalu, Nabawan dan Tambunan mengalami kerosakan akibat bencana itu.

Beliau berkata daripada jumlah itu, hanya empat sekolah mengalami kerosakan kritikal iaitu tiga di Ranau dan sebuah di Kota Belud membabitkan bangunan kelas dan kuaters guru.

Dalam pada itu, Jame berkata khidmat kaunseling dari jabatannya dan Kementerian Pelajaran akan dihantar bagi memberi bimbingan kepada guru yang mengalami trauma akibat gempa bumi.

Beliau berkata ramai guru yang ditemui khususnya yang bertugas di sekitar Kundasang dan Ranau masih trauma dengan kejadian gempa bumi dan banjir lumpur. — Bernama

Advertisement