Anda di sini

Tiga tonggak diyakini bertemu Perak

Advertisement

Peluang Rames untuk beraksi malam esok agak tipis kerana belum pulih: Alberts

Oleh Harry Ilias //

 Pemain menjalani latihan sambil dipantau jurulatih kecergasan, Azley Abdullah (tiga kanan).

KEMBALI CERGAS: Pemain menjalani latihan sambil dipantau jurulatih kecergasan, Azley Abdullah (tiga kanan).

KUCHING: Pengendali Sarawak, Robert Alberts optimis tiga pemain utamanya dapat diturunkan pada perlawanan Liga Super 2015 menentang Perak di Stadium Negeri pada Sabtu ini.

Menurut Alberts, kecederaan yang dialami Joseph Kalang Tie, Ronny Harun dan Patrick Gerhardt tidak begitu serius dan yakin mereka beraksi pada perlawanan tersebut.

Namun peluang seorang lagi pemain pertahanan, Rames Lai Ban Huat agak tipis selepas kecederaan pada kuku kaki kanannya belum menampakkan tandatanda akan pulih dalam masa terdekat.

“Peluang Joseph, Ronny dan Patrick untuk bermain agak cerah.

Cuma keadaan Rames agak membimbangkan kerana kecederaannya masih belum pulih sepenuhnya,” ujar Alberts ketika ditemui semasa sesi latihan di Stadium Negeri malam kelmarin.

Joseph dan Ronny mengalami kecederaan ketika mewakili negara pada perlawanan persahabatan dan kelayakan Piala Dunia 2018.

Manakala Patrick dipanggil untuk mewakili negaranya Liberia pada kelayakan Piala Negara-Negara Afrika.

“Kita amat memerlukan khidmat keempat-empat pemain ini untuk memenangi perlawanan menentang Perak.

“Sudah tentu kita mahu mengutip tiga mata penuh di laman sendiri, namun ia bukan mudah kerana Perak juga mempunyai barisan pemain yang serba mantap.

“Gabungan pemain muda dan awang import mereka cukup berbahaya dan bersedia mengecewakan kita jika pemain hilang fokus dan melakukan banyak kesilapan,” ujar Alberts.

Skuad Ngap Sayot mula menjalani latihan di Stadium Negeri sejak kelmarin sebagai persiapan menghadapi kempen Liga Super yang bersambung semula selepas berehat selama enam minggu.

Latihan diadakan bermula jam 9.30 malam pada bulan Ramadan.

“Saya sangat berpuas hati dengan keputusan yang kita perolehi dari tiga perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Perlawanan tersebut membantu mengembalikan semula tahap kecergasan pemain dan mereka berada dalam prestasi terbaik ketika ini.

“Malah, kem motivasi yang dilaksanakan dua hari lepas turut membantu mempertajamkan semula fokus selepas rehat panjang,” katanya.

Perlawanan antara Sarawak dan Perak akan bermula pada jam 9.45 malam.

Sarawak menduduki tangga kesembilan selepas mengumpul 12 mata hasil dari tiga kemenangan dan tiga kali seri.

Advertisement