Anda di sini

Sarawak juara keseluruhan Kejohanan Pingpong Kadet dan Remaja Malaysia Milo

Advertisement

KUCHING: Penantian selama tujuh tahun Sarawak untuk merangkul gelaran juara keseluruhan berakhir selepas skuad pingpong berjaya menjuarai Kejohanan Pingpong Kadet dan Remaja Malaysia Milo Ke-35 yang diadakan di Keat Hwa Middle School, Alor Setar, Kedah.

Kontinjen seramai 20 atlet diketuai Chung Kui Chai itu menggondol enam emas, lima perak dan tiga gangsa untuk mengutip 65 mata pada kejohanan yang berlangsung dari 10 hingga 13 Jun itu.

Walapun pasukan Selangor turut memenangi enam emas, mereka akur dengan kelebihan Sarawak dari segi pungutan mata selepas sekadar memenangi dua gangsa.

Kuala Lumpur di tempat ketiga dengan satu perak dan enam gangsa.

Atlet dari Kuching, Alice Chang Li Sian ditabalkan pemain terbaik selepas menggondol emas dalam kategori perseorangan, beregu dan berpasukan perempuan bawah 15 tahun.

Malah, beliau menduduki ranking pertama dalam kategori tersebut.

Turut membanggakan Gabriel Ling Kerk Yu yang memenangi emas dalam kategori perseorangan lelaki bawah 15 tahun, satu gangsa dalam beregu dan perak dalam acara berpasukan.

Gabriel juga diletakkan sebagai pemain ranking pertama dalam kategori berkenaan.

Dua lagi emas Sarawak disumbangkan menerusi acara berpasukan dan beregu perempuan bawah 18 tahun.

Manakala perak disumbangkan menerusi acara perseorangan lelaki dan perempuan bawah 18 tahun, beregu lelaki dan perempuan bawah 15 tahun dan berpasukan lelaki bawah 18 tahun.

Kontinjen Sarawak diketuai Thomas Tay Choon Chai, Ling Tiing Sik, Ang Guat Kee, Kho Mao Sheng dan Chua Kian Peng.

Advertisement