Anda di sini

Bukan mudah jadi wakil rakyat, kata Ahmad Lai

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tugas sebagai Ahli Parlimen Malaysia tidak semudah seperti yang dijangka meskipun ada yang beranggapan ia satu kerjaya popular.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai berkata kebanyakan masa Ahli Parlimen diluang untuk mendengar denyut nadi rakyat di kawasan masing-masing hingga masa bersama keluarga juga amat terhad.

“Kita dipilih rakyat. Ia satu amanat serta tanggungjawab yang harus dipikul wakil rakyat dalam memastikan keperluan rakyat di konstituensi dipenuhi,” katanya di sini kelmarin.

Bahkan katanya, seorang wakil rakyat prihatin dengan keperluan rakyat harus memanjang permohonan mereka melalui persidangan Dewan Rakyat secara berulang kali supaya didengar dan diterima kerajaan.

“Saya sendiri bukan sahaja hanya berjuang untuk keperluan rakyat di kawasan saya (Sibuti) bahkan saya turut memohon bantuan daripada kerajaan bagi kawasan Parlimen Miri dalam beberapa perkara,” jelasnya.

Ahmad Lai menjelaskan, berbanding wakil rakyat pembangkang, mereka hanya pandai mencari kesalahan kerajaan hingga mengabaikan tanggungjawab mereka kepada rakyat.

“Sebab itu ada dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan turut berjuang memohon peruntukan pembangunan bukan hanya untuk konstituensi mereka tetapi juga kawasan yang dikuasai pembangkang.

“Ia penting bagi memastikan keperluan rakyat di kawasan pembangkang tidak terabai meskipun mereka tahu wakil rakyat mereka kurang menyumbang dalam pembangunan kawasan mereka,” katanya.

Ahmad Lai menambah, kerajaan mempunyai 23 kementerian bertanggungjawab dalam bidang masing-masing dan apabila Dewan Rakyat bersidang, ia berakhir hingga lewat malam.

“Kita menunggu giliran hingga berhari-hari untuk berbahas dalam Dewan Rakyat kerana terdapat ramai wakil rakyat ingin mengetengah permohonan masing-masing hingga perbahasan berlangsung dari pagi hingga lewat malam,” katanya.

Ahmad Lai berkata tidak hanya berbahas dalam Dewan Rakyat, beliau juga melakukan tindakan susulan melalui permohonan bertulis kepada kementerian berkaitan bagi memohon peruntukan pembangunan.

“Kita terpaksa memohon peruntukan pembangunan berulang-ulang kali bukan sahaja dalam Dewan Rakyat tetapi juga secara bertulis supaya kerajaan mendengar permintaan rakyat Sarawak,” katanya.

Advertisement