Anda di sini

80 pemain golf sertai Kejohanan Bidayuh Dunia ke-11 pada Sabtu

Advertisement

KUCHING: Lebih 80 pemain golf termasuk beberapa wakil rakyat Bidayuh mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Golf Bidayuh Dunia ke-11 (WBGC) 2015 yang akan diadakan pada Sabtu ini Kelab Golf Sarawak (KGS).

Pertandingan tersebut akan bermula jam 7.30 pagi di padang golf Matang/Santubong dengan penyampaian hadiah akan diadakan di ibu pejabat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA).

Antara yang turut serta pemain berpengalaman, Magit Semong yang menjuarai Trofi Cabaran Dato Sri Michael Manyin pada tahun lepas.

Selain itu, Andrew Ngisun yang menjuarai Trofi Cabaran Presiden DBNA juga mengambil bahagian.

Jurucakap jawatankuasa penganjur, Ricky Guing berkata jumlah penyertaan pada tahun ini adalah yang terbesar sejak ia dianjurkan pada 2005.

Semua pemain golf Bidayuh dengan handikap yang sah dibenarkan untuk mengambil bahagian.

Kejohanan kali ini juga menyaksikan beberapa wakil rakyat turut serta seperti ADUN Tasik Biru, Datuk Peter Nansian, Ahli Parlimen Mas Gading, Anthony Nogeh dan ADUN Kedup, Martin Ben.

Malah beberapa personaliti Bidayuh seperti Presiden DBNA, Datu Ik Pahon Joyik, Datuk Peter Nyumek dan Datuk Clarence Rorote juga mengambil bahagian.

Majlis simbolik penyerahan trofi kepada jawatankuasa penganjur telah diadakan semasa malam penghargaan DBNA pada Rabu lepas.

Ia disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Dato Sri Michael Manyin dan Ik Pahon.

Advertisement