Anda di sini

Utusan Borneo, The Borneo Post, The Sunday Post dan See Hua Daily News kekal akhbar pilihan nombor satu

Advertisement
 Fan (tengah, barisan hadapan) bersama ahli lembaga ABC.

AUDIT EDARAN: Fan (tengah, barisan hadapan) bersama ahli lembaga ABC.

KUALA LUMPUR: Akhbar Utusan Borneo, The Borneo Post, The Sunday Post dan See Hua Daily News kekal menjadi akhbar pilihan nombor satu di Sabah dan Sarawak berdasarkan perangkaan daripada bulan Julai hingga Disember 2014 yang dikeluarkan Audit Bureau Circulation (ABC) semalam.

Memetik angka-angka yang dikeluarkan oleh ABC bagi tempoh enam bulan itu di Sarawak,  edaran akhbar Utusan Borneo mencecah 36,264 naskhah sehari. Bagi akhbar bahasa Inggeris, The Borneo Post dan The Sunday Post masing-masing telah mencatatkan 66,023 dan 70,191 edaran sehari. Manakala akhbar bahasa Cina, See Hua Daily News telah mencatat edaran  sebanyak 67,920 naskhah sehari.

Sementara itu, di Sabah pula, Utusan Borneo dan See Hua Daily News masih menduduki tangga teratas dalam carta audit ABC dengan edaran sebanyak 14,452 dan 27,619 naskhah setiap hari.

Bagi The Borneo Post pula, angka edaran adalah sebanyak 23,044 setiap hari sekali gus meletakkan akhbar ini berada di tempat ketiga dalam carta audit ABC.

Menurut Fan Chen Yip yang baru dilantik sebagai Pengerusi ABC, walaupun terdapat penurunan jualan akhbar sebanyak 6 peratus dalam tempoh berkenaan berbanding dengan tempoh audit terdahulu dari Januari 2014 hingga Jun 2014  namun ia masih menunjukkan kuasa beli pembaca dalam segmen pembaca dalam akhbar masih kuat.

Katanya, ia disokong dengan jumlah perbelanjaan pengiklan dalam akhbar-akhbar berkenaan.

“Menuru Laporan Perbelanjaan Pengiklanan yang dikeluarkan oleh Nielsen Malaysia pada April 2015, surat khabar kekal menjadi medium utama dalam kempen pemasaran dan pengiklanan yang diguna pakai oleh pengiklan di negara ini,” jelasnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai perangkaan audit daripada bulan Julai hingga Disember 2014 yang dikeluarkan Audit Bureau Circulation (ABC), anda boleh melayari laman web ABC (www.abcm.org.my).

Advertisement