Anda di sini

Sarawak kuasa bola tampar MSSM

Advertisement

Berjaya pertahan kejuaraan apabila ungguli dua kategori pada kejohanan peringkat kebangsaan

Oleh Harry Ilias //

 Kontinjen Sarawak meraikan kejayaan bersama para pegawai dan jurulatih di Seremban pada Sabtu lalu.

SYABAS: Kontinjen Sarawak meraikan kejayaan bersama para pegawai dan jurulatih di Seremban pada Sabtu lalu.

KUCHING: Sarawak berjaya mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Bola Tampar Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang diadakan di Gelanggang Pusat Paroi, Seremban, Negeri Sembilan pada minggu lepas.

Kontinjen negeri ternyata unggul apabila berjaya memenangi dua kategori selain menduduki tempat kedua dan kesembilan dalam dua kategori lain untuk mengekalkan penguasaan dalam kejohanan peringkat kebangsaan yang berlangsung dari 7-12 Jun lalu.

Mereka mengumpul 143 mata untuk menewaskan pencabar terdekat, Johor yang menduduki tempat kedua dengan 141 mata.

Selangor di tempat ketiga dengan 86 mata sementara tempat keempat dan kelima dirangkul Pahang (82 mata) dan Terengganu (70 mata).

Pada perlawanan akhir kategori perempuan bawah 12 tahun, Sarawak tewas 0-3 (3-15, 9-15, 8-15) di tangan Johor namun ditebus skuad perempuan bawah 18 tahun dengan kemenangan 3-0 (25-19, 25-10, 25-18) ke atas Pahang.

Kemenangan kedua dicatat skuad lelaki bawah 18 tahun selepas menundukkan Selangor 3-2 (28-26, 19-25, 23-25, 28-26, 15-12).

Bagaimanapun, skuad lelaki bawah 12 tahun sekadar menduduki tempat kesembilan dari 13 pasukan yang bertanding.

Kontinjen Sarawak turut memenangi anugerah tambahan apabila Sim Ming Feng, Soon Wei Kiat dan Ranjit Ramu dinobatkan Penghadang Terbaik, Perejam Terbaik dan Pemain Paling Bernilai bagi kategori lelaki bawah 18 tahun.

Selain itu, Angela Tang Ling dan Shannon Lee Ping Ping pula ditabalkan selaku Pemain Paling Bernilai dan Penyangga Terbaik bagi kategori perempuan bawah 18 tahun.

“Sarawak sentiasa menjadi pasukan pilihan dalam saingan bola tampar MSSM,” ujar Ketua Kontinjen Sarawak, Samsul Alam Mohd Shamsuddin.

“Kejayaan ini berkat semangat juang pemain yang tinggi serta perancangan efektif jurulatih, kerjasama dan komitmen dari pengurus pasukan serta sokongan dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak. Kenyalang pasti terbang tinggi!” tambahnya.

Sejumlah 16 pasukan menyertai kejohanan tahunan kali ini.

Sarawak muncul juara keseluruhan pada kejohanan 2014 selepas menjuarai kategori perempuan bawah 18 tahun, tempat kedua dalam kategori lelaki bawah 18 tahun manakala tempat ketiga dan keenam dalam kategori perempuan dan lelaki bawah 12 tahun.

Advertisement