Anda di sini

Najib kagum penerimaan nilai dan budaya yang diamalkan tanpa ekstrem di Sarawak

Advertisement

KUALA LUMPUR: Selepas mengadakan lawatan kerja di Sarawak pada Isnin dan Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melahirkan rasa kagum dengan sikap bertolak ansur, kesefahaman dan penerimaan nilai dan budaya yang diamalkan tanpa ekstrem di negeri itu.

Najib dalam catatan terbaharu di blog NajibRazak.com juga berharap keamanan dan kesejahteraan yang diamalkan di antara kaum dan etnik di Sarawak akan terus berkekalan di Bumi Kenyalang itu.

“Mengimbas kembali lawatan saya ini, saya lebih yakin daripada sebelum ini bahawa kerajaan negeri Sarawak bekerja keras untuk memastikan semua etnik dan kaum hidup dalam suasana aman dan harmoni.

“Adalah terserlah di Sarawak terdapatnya keakraban dan keharmonian antara kaum dan etnik tempatan. Sikap bertolak ansur, kesefahaman dan penerimaan nilai dan budaya diamalkan tanpa ekstrem,” katanya.

Jelasnya sambutan mesra dan meriah yang diterima pada majlis yang unik, seperti majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak telah memberi seribu satu kenangan kepadanya.

“Semasa saya di Sibu dan Kapit kali ini, saya dapat menjamu selera masakan tempatan seperti ikan terubuk, sayur midin, kuih celorot dan sebagainya. Saya harap dapat pulang ke Sarawak di dalam waktu yang terdekat nanti,” kata Najib.

Sementara itu beliau turut berharap peruntukan tambahan untuk membina jalan yang akan menghubungkan Kapit ke Sibu dan pembinaan Jambatan Sungai Mujong yang diumumkan semalam dapat membantu memudahkan perhubungan bagi penduduk di kawasan tersebut.

Najib berkata sebagai Perdana Menteri beliau sememangnya menerima taklimat, laporan dan pandangan berhubung status pembangunan yang dilakukan dari setiap pelusuk negara.

Bagaimanapun, baginya tiada cara lebih baik untuk beliau melihat dengan mata sendiri, mendengar dengan telinga sendiri, untuk mengetahui dan merasai denyut nadi rakyat terutamanya di peringkat akar umbi.

“Semalam (kelmarin) saya bersetuju dan mengumumkan bahawa peruntukan sebanyak RM127 juta telah diluluskan sebagai peruntukan tambahan untuk membina jalan yang akan menghubungkan Kapit ke Sibu dan untuk pembinaan Jambatan Sungai Mujong.

“Saya berharap sedikit sebanyak projek-projek ini dapat membantu memudahkan perhubungan bagi penduduk-penduduk Kapit dan Sibu,” katanya. — Bernama

Advertisement