Anda di sini

MSNS akan tempatkan jurulatih pingpong di Miri

Advertisement

KUCHING: Kemelut jurulatih yang dihadapi skuad pingpong Miri berakhir selepas Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) bersetuju menempatkan jurulatih di pusat kecemerlangan bahagian itu tidak lama lagi.

Perkara itu diputuskan oleh Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin yang memberitahu MSNS akan melantik lebih ramai jurulatih termasuk mereka yang berpengetahuan luas dalam bidang sains sukan untuk membangunkan sukan di negeri ini.

“Kita mempunyai panel jurulatih yang akan mengkaji permohonan untuk jawatan jurulatih serta menilai prestasi jurulatih sedia ada,” katanya semasa sidang media bersama Persatuan Ping Pong Sarawak (TTAS) pada Isnin lalu.

“Kita akan menghantar jurulatih sepenuh masa ke Miri untuk membantu melatih atlet di sana kerana bahagian itu mempunyai ramai pemain ping pong yang berbakat.”

Katanya, jurulatih terbabit juga ditugaskan untuk melatih atlet di wilayah utara Sarawak seperti Bintulu, Lawas dan Limbang.

Lee yang juga Menteri Muda Komunikasi merakamkan syabas kepada TTAS dan atlet mereka selepas berjaya merangkul juara keseluruhan pada Kejohanan Pingpong Kadet dan Remaja Kebangsaan yang berlangung di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Ia kejayaan cemerlang skuad pingpong Sarawak selepas menunggu tujuh tahun.

“Atlet kita di Miri memainkan peranan besar dalam kejayaan skuad Sarawak dan saya percaya kita boleh mencapai kejayaan yang lebih baik di peringkat kebangsaan jika mempunyai jurulatih di sana.

“Kita juga akan menganjurkan lebih banyak seminar untuk jurulatih termasuk kursus pengurusan sukan untuk menaikkan lagi mutu dan kualiti jurulatih dan atlet di Sarawak,” menurut Lee.

Advertisement