Anda di sini

Krisis Pakatan Rakyat: PKR terus kunci mulut

Advertisement

Pemain utama senada memberitahu bahawa satu kenyataan rasmi akan diumumkan kelak

KUALA LUMPUR: Pemain utama dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam mengunci mulut berhubung status terkini dan masa depan Pakatan Rakyat meskipun kedudukan gabungan pembangkang itu kini ibarat ‘telur di hujung tanduk’.

Ditemui di lobi Parlimen semalam, rata-rata mereka lebih suka mendiamkan diri dan enggan mengulas lanjut kecuali senada memberitahu bahawa satu kenyataan rasmi akan diumumkan kelak.

Naib Presiden PKR Tian Chua berkata kenyataan rasmi tersebut dicapai hasil mesyuarat di sini kelmarin dan ia akan dikeluarkan oleh presiden parti kelak, katanya kepada pemberita.

Kelmarin, DAP mengisytiharkan gabungan itu yang terdiri daripada parti itu, PKR dan PAS tidak lagi wujud susulan keputusan Muktamar PAS baru-baru ini untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah ‘membunuh’ pakatan itu.

Perbalahan dalam gabungan pembangkang itu turut mengheret kepada desas-desus kemungkinan wujudnya perpecahan dan persoalan mengenai kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Selangor dalam keadaan stabil, tidak ada isu dalam Selangor. Tidak akan ada pilihan raya negeri, Selangor stabil dan tidak ada isu,” kata Tian Chua.

DUN Selangor dengan 56 kerusi terdiri daripada PAS dengan 15 kerusi, DAP (15), PKR (13), Barisan Nasional (12) dan Bebas (1).

Turut mengunci mulut dan memilih jalan selamat adalah Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli yang memberitahu keputusan mengenai konflik dalam pakatan itu dijangka menyelesaikan segala permasalahan yang timbul sebelum ini.

“Keputusan itu sudah ada, sudah jelas. Cuma kenyataan mungkin keluar hari ini (semalam), mungkin juga esok (hari ini). Saya sedang praktis untuk puasa esok (hari ini), praktis untuk tidak bercakap apa-apa,” kata Ahli Parlimen Pandan secara ringkas dan terus mengelak media yang menantinya sejak pagi di pekarangan Parlimen semalam.

Seorang lagi Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pula sekadar berkata: “Kami akan beri kenyataan kepada anda, saya pasti anda boleh tunggu. Mesyuarat positif? Kesemua dalam kehidupan adalah segala-galanya,” katanya.

Turut mengambil pendekatan yang sama ialah Ahli  Parlimen PKR Bayan Baru Sim Tze Tzin yang juga merupakan Pengarah Strategi parti berkenaan yang sekadar tersenyum dan tidak memberi sebarang ulasan.

Sementara itu, bekas Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berpendapat sama ada PAS atau DAP perlu berundur demi menyelesaikan kemelut pakatan itu khasnya dalam konteks (kerajaan negeri) di Selangor.

Menurutnya, tindakan itu perlu diambil memandangkan kedua-dua parti telah membuat keputusan memutuskan hubungan kerjasama.

“Kalau terus kekal, ia akan membina persepsi – bukan saya kata – untuk orang kata ini parti politik hipokrit. Ini akan menjejaskan kepercayaan rakyat,” katanya. — Bernama

Advertisement