Anda di sini

Keluarga malim gunung kecewa berita tidak sahih

Advertisement

Tindakan segelintir individu yang tidak prihatin telah menyebabkan masyarakat keliru dan panik

RANAU: Salah seorang ahli keluarga malim gunung, Adam Nabil Abdullah @Willie Tadam berasa kecewa dan kesal dengan sikap segelintir individu yang sangat suka menghebahkan sesuatu berita yang tidak sahih melalui media sosial ketika beberapa daerah di negeri ini mengalami bencana gempa bumi.

Katanya, pelbagai berita dan cerita yang tidak benar sekarang ini tersebar luas melalui media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dan lain-lain, yang menyebabkan berlakunya kekeliruan malah perasaan panik dalam kalangan masyarakat di daerah ini yang terlibat gempa.

“Saya hairan kenapa mereka ini tidak serik-serik atau tidak prihatin terhadap apa juga tindakan mereka itu. Jika dahulu media sosial seperti Facebook sering digunakan untuk menyampaikan sesuatu cerita sama ada benar atau sebaliknya, tetapi ketika ini media sosial seperti WhatsApp menjadi pilihan kerana ia senang dicapai dan rata-rata telefon pintar yang ada di pasaran ketika ini mempunyai aplikasinya serta diguna oleh pelbagai peringkat umur,” katanya dalam kenyataan yang dihantar melalui WhatsApp kepada Utusan Borneo di sini kelmarin.

Willie berkata, apa yang berlaku ketika ini ialah terlalu banyak cerita dan berita yang tidak benar mengenai kejadian gempa bumi di Ranau dan yang menjadi kekesalannya ialah, berita yang mengatakan akan berlaku gempa bumi yang lebih besar daripada yang telah berlaku pada 5 Mei lalu.

Katanya, tidak cukup dengan itu, berita seperti itu turut diberikan butiran jam berapa ia dijangka akan berlaku dengan kekuatan gempa yang bakal berlaku seperti 6.1 pada skala Richter atau lebih besar.

“Apa yang lebih mengece-wakan kononnya sumber maklumat itu datangnya dari pihak Jabatan Meteorologi sedangkan tiada kesahihan mengenainya. Berita dan cerita seperti ini kini banyak tersebar melalui ‘group’ dalam media sosial ini dan sering di ‘copy paste’ kepada kumpulan atau individu lain.

“Sikap sesetengah individu yang ingin menjadi orang pertama menyampaikan sesuatu berita atau cerita itu adalah puncanya mengapa berita seperti itu cepat tersebar tanpa mengetahui kebenaran atau kesahihan sesuatu berita itu terlebih dahulu.

“Tidakkah mereka ini faham bagaimana perasaan serta emosi mereka yang berada di kawasan kejadian dan mengalami musibah itu? Atau mereka ini sebenarnya memang tidak mempedulikan orang lain, apa yang penting mereka ini dianggap sebagai orang yang mengetahui lebih banyak cerita,” katanya.

Dalam kes bencana gempa bumi yang melanda daerah Ranau dan Kota Belud katanya, berita seperti itu telah menyebabkan masyarakat di kawasan berkenaan semakin bertambah bimbang dan resah.

Tidak cukup dengan bentuk ‘serangan’ fizikal yang diterima di mana penduduk yang terlibat terpaksa berulang-alik malahan berpindah ke tempat yang lebih selamat.

Willie berkata, sekarang ini secara mental dan emosi pula diserang dengan berita dan cerita yang tidak tepat. Ia membuatkan timbulnya perasaan panik dan ketidaktentuan emosi.

Beliau sendiri yang turut berada di Kundasang beberapa hari dan turut berasakan begitu banyak gempa susulan dan gempa yang kedua terkuat pada awal pagi Sabtu lepas, berasa sungguh kecewa dengan sikap individu terbabit yang seolah-olah seronok menghantar berita sedemikian.

Lebih mengecewakan lagi, kebanyakan berita itu diterima daripada mereka yang berada di luar kawasan atau daerah yang terlibat bencana itu.

“Sikap sesetengah individu yang suka membuat andaian sendiri juga adalah antara punca wujudnya cerita seperti itu. Terlalu ramai yang menjadi ahli geologi ketika ini. Saya sendiri boleh dikatakan setiap hari menerima panggilan telefon daripada kalangan saudara-mara dan kawan yang berada di Kundasang dan Ranau bertanyakan sama ada benar atau tidak berita yang mereka perolehi itu.

“Saya tidak menyalahkan mereka jika mereka mempercayai berita sedemikian sebab saya faham perasaan mereka sekarang yang terlalu gusar dan bimbang tentang keselamatan diri, keluarga dan harta benda. Sudah tentu ahli keluarga yang bekerja dan belajar di luar daerah juga berasa begitu risau dan tambah tertekan bila mendapat berita sedemikian.

“Begitu juga cerita tentang punca kejadiannya bencana yang banyak diperkatakan. Apapun ceritanya terutama yang disampaikan oleh para ‘bobolian’, itu adalah hak dan kepercayaan mereka berdasarkan kepercayaan dan adat resam turun-temurun nenek moyang mereka.

“Sama ada kita mempercayainya atau tidak, janganlah kita mempertikai dan mempersoalkannya apatah lagi menjadikannya sebagai bahan jenaka.

“Adalah lebih baik berdiam diri dan berdoa mengikut anutan agama masing-masing demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat di daerah-daerah terlibat. Dan perlu diingati, apa juga pantang larang yang dikatakan adalah untuk kebaikan dan bukannya untuk keburukan terutamanya buat yang mendaki Gunung Kinabalu,” katanya.

Willie memohon kepada mereka yang suka menjadi ‘penganalisis’ atau pakar dalam setiap kali apa-apa isu yang timbul, supaya menghentikan sikap sedemikian. Yang berlaku sekarang ialah bencana alam dan melibatkan kehilangan nyawa. Mereka yang berada di kawasan yang terlibat adalah mereka yang merasakan impaknya dan sekarang ini terlalu trauma dengan apa yang berlaku.

Katanya, difahamkan ada dalam kalangan mereka yang terpaksa mengambil ubat penenang untuk meredakan emosi mereka.

“Tolong jangan tambah kesengsaraan mereka ini dengan segala bentuk analisis dan andaian yang menggugat emosi mereka. Cukuplah menjadi ‘pakar’ politik bila ada isu politik atau menjadi pakar ekonomi bila ada isu ekonomi. Jangan cuba jadi pakar geologi atau kaji bumi pula.

“Mendiang Ricky Masirin dari Kampung Kauluan Kundasang bertugas sebagai jurulatih Malim Gunung via Feratta yang maut dalam kejadian gempa bumi itu adalah anak buah isteri saya,” katanya.

Advertisement