Anda di sini

Hornbill muncul juara sulung kejohanan floorball 5-on-5 Campuran

Advertisement

MIRI: Pasukan Hornbill muncul juara kejohanan floorball 5-on-5 Campuran yang julung kalinya diadakan di Stadium SM Pei Min di sini.

Hornbill terdiri pelajarpelajar Kolej i-Systems Miri dan beberapa pemain floorball Sarawak berjaya mengalahkan lima pasukan lain pada kejohanan tersebut berakhir Sabtu lalu.

Sebanyak enam buah pasukan floorball di negeri ini berentap pada sukan berkenaan yang diperkenalkan di Sarawak oleh pengetua Kolej i-Systems Miri, Farrell Choo.

Sementara itu, naib juara Sarawakian FC dan tempat ketiga ialah Borneo Floorball Club.

Kejohanan dianjurkan Kolej i-Systems Miri itu bertujuan memperkenal dan mempromosikan sukan berkenaan kalangan golongan muda di sini khususnya pelajar sekolah.

Ketika ini, sukan itu mula bertapak di empat buah sekolah menengah sekitar Miri iaitu SM Pei Min, SMK St Columba, SMK Baru dan SMK Chung Hua selain di Kolej i-Systems Miri dan Institut Perguruan Sarawak (IPS) Kampus Miri.

Sehingga kini seramai 300 pelajar terlibat dalam sukan berkenaan dan menjalani latihan insentif bagi mempertingkat kemahiran di bawah tunjuk ajar jurulatih, Choo.

Menurut Choo, sukan tersebut melalui Kelab Floorball Taman Tunku, sudahpun berdaftar dengan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) di sini bagi membolehkan diperkenal dan dimainkan secara rasmi dan akses kepada pelbagai kemudahan sukan, kejohanan, latihan dan sebagainya.

“Matlamat kelab ini ditubuhkan adalah mempromosikannya kalangan belia, terutama pelajar-pelajar sekolah menengah dan institut pengajian tinggi awam mahupun swasta di Miri dan Sarawak,” katanya di sini semalam.

Choo yang juga presiden kelab berkenaan, memberitahu beliau kini dalam usaha mendapatkan dana dan penaja berpotensi bagi membantu membangunkan sukan tersebut di seluruh negeri.

“Selain kejohanan ini, aktiviti kami seterusnya menganjurkan kejohanan Floorball 3-on-3 Faceoff yang dijadualkan pada Ogos tahun ini dan dibuka kepada kategori lelaki dan wanita.

“Bagi memahirkan para pemain dalam sukan baharu ini, kita turut mengadakan latihan rutin pada setiap Sabtu (tidak termasuk cuti umum),” jelasnya.

Mereka ingin tahu lebih lanjut mengenai Floorball dan berminat untuk turut serta dalam sukan dan kejohanan boleh ke laman sosial mereka www.facebook.com/sarawakfloorball.

Beliau turut mengesyorkan syarikat-syarikat dan badan korporat untuk ‘mengangkat’ sukan floorball kerana masih baharu dan diyakini mampu menarik minat ramai remaja dan belia apabila semakin dikenali.

“Saya yakin boleh diterima dengan baik kerana sukan ini bukanlah sukan agak lasak, tetapi amat ‘flexible’ dan boleh dimainkan dalam kumpulan atau sebuah pasukan kecil iaitu dalam tiga hingga lima orang (sepasukan).

“Selain itu ia adalah sukan selamat dengan kadar kecederaan amat rendah berbanding sukansukan lain dan kerana alasan ini jugalah kenapa ia merupakan satu sukan amat sesuai dan berjaya dimainkan di sekolahsekolah,” jelas beliau.

Sukan floorball boleh dimainkan sama ada di gelanggang tertutup (seperti gelanggang futsal, bola keranjang dan bola jaring), pusat-pusat sukan mahupun di gymnasium.

Ia juga sukan amat menyeronokkan untuk semua peringkat umur dan bukan sukan bersentuhan, menjadikan sukan cukup sesuai untuk pemain mahu bersukan namun tidak mahu berlaku sentuhan fizikal secara terus dengan lawan yang boleh mendatangkan kecederaan.

“Sebaliknya menerusi floorball anda boleh bermain dalam suasana yang mesra pemain dan menyeronokkan tanpa perlu berasa risau anda akan mencederakan sesiapa ataupun tercedera ketika bersukan,” jelasnya.

Pada Sukan SEA 2015, acara sukan floorball turut diperkenalkan dengan pasukan Malaysia berjaya memenangi pingat gangsa dalam kategori lelaki.

Manakala di peringkat antarabangsa, Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Floorball Antarabangsa (IFF) sudahpun mengemukakan permohonan agar sukan ini dimasukkan sebagai acara tambahan Sukan Olimpik Musim Panas 2020 di Tokyo.

Dalam pada itu, mana-mana sekolah atau penganjur berminat mempelajari dan memahami dengan lebih mendalam mengenai acara sukan ini boleh menghubungi Farrell Choo di talian 017-8018707.

Advertisement