Anda di sini

Hajat guru beraya di rumah baharu tidak kesampaian

Advertisement
 Sebuah rumah hampir siap milik penduduk Kampung Mesilau ranap dalam kejadian tanah runtuh awal pagi semalam. — Gambar Bernama

MUSIBAH: Sebuah rumah hampir siap milik penduduk Kampung Mesilau ranap dalam kejadian tanah runtuh awal pagi semalam. — Gambar Bernama

KUNDASANG: Hajat seorang guru sebuah sekolah menengah di sini untuk berhari raya di rumah baharu yang dibinanya secara beransur-ansur sejak tiga tahun lepas tidak kesampaian apabila rumah berkenaan ranap akibat tanah runtuh.

Haili Salim, 48, yang mengajar di SMK Timbua, Ranau berkata rumahnya di Kampung Mesilau berkenaan runtuh selepas tapak struktur rumahnya itu menjadi lemah akibat hakisan banjir lumpur di Sungai Masilau beberapa hari lepas.

“Saya mengetahui tragedi yang melanda rumah saya melalui WhatsApp yang dihantar oleh anak buah (anak saudara) saya kira-kira jam 8 pagi tadi (semalam),” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat pemindahan Dewan Mini Kundasang di sini semalam.

Katanya jarak rumah tiga tingkatnya itu, yang sudah menelan kos kira-kira RM300,000, dari tebing sungai sebelum banjir lumpur berkenaan ialah antara 60 hingga 70 meter manakala ketinggiannya daripada paras sungai ialah kira-kira 30 meter.

Bagaimanapun katanya selepas kejadian banjir lumpur itu, tebing sungai itu menjadi curam seperti abjad ‘V’ akibat hakisan banjir lumpur berkenaan menyebabkan struktur tapak rumahnya turut menjadi lemah lalu runtuh.

“Saya merancang berpindah ke rumah baharu itu pada Hari Raya akan datang ini. Namun saya terima semua ujian Allah ini dengan tabah,” kata Haili yang kini tinggal dengan mentuanya. — Bernama

Advertisement