PUTRAJAYA: Petronas Dagangan Bhd memberi jaminan bekalan minyak petrol RON95 di tiga negeri di pantai timur mencukupi berikutan kapal tangki MT Orkim Harmony yang membawa bekalan bahan api itu dilaporkan hilang di kawasan perairan Tanjung Sedili, Johor pada 12 Jun lepas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata Petronas, yang memberikan jaminan itu kepadanya kelmarin, berjanji untuk menghantar bekalan minyak itu ke Pahang, Terengganu dan Kelantan minggu hadapan.
“Petronas sedang berusaha dan memberi jaminan bahawa 6,000 metrik tan atau 60 juta liter bekalan RON95 yang hilang, merupakan kegunaan satu atau dua minggu dan ia akan dibekalkan secepat mungkin.
KPDNKK (Kementeri-an Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Ke-penggunaan)juga akan memantau bekalan RON95 dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan bahan itu sentiasa mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perun-dingan Tahunan KPDNKK Bersama Sektor Koperasi di sini semalam.
Hasan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bekalan minyak di pantai timur selepas MT Orkim Harmony membawa 6,000 tan metrik muatan minyak petrol RON95 sedang dalam pelayaran dari Melaka ke Kuantan apabila dilaporkan hilang.
Kapal tangki itu membawa 22 anak kapal terdiri daripada 16 warga Malaysia termasuk Kaptennya Nor Fazly Sahat, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar.
Dalam pada itu, Hasan turut meminta rakyat bersabar memandangkan Petronas sudah pun memberi jaminan untuk mengatasi bekalan bahan api itu. — Bernama