Anda di sini

Palanivel gantung timbalan presiden, 14 yang lain sebagai anggota MIC

Advertisement

KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri G. Pala-nivel semalam menggantung keanggotaan timbalannya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan 14 yang lain daripada parti itu selama setahun berkuat kuasa serta-merta kerana mengingkari perintahnya supaya tidak mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Sementara MIC.

Empat belas anggota ber-kenaan ialah naib presiden Datuk M. Saravanan, Ketua Wanita Mohana Muniandy dan 12 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) terdiri daripada Datuk Seri S.K. Devamany, N. Rawisandran, Datuk R. Ganesan, Datuk M. Davendran, Datuk K.R.A. Naidu, Datuk V.M. Panjamothy, P. Manivasagam, S. Ananthan, M. Mathuraiveran, Datuk M. Asojan, P. Shanmugan dan K.R. Parthiban.

Dalam kenyataan lapan perenggan yang dikeluarkan di sini semalam, Palanivel berkata: “Dengan kuasa yang diberi kepada saya sebagai presiden Kongres India SeMalaysia mengikut Perkara 61.1 perlembagaan MIC, saya telah menggantung keanggotaan orang berikut dalam MIC selama dua belas (12) bulan berkuat kuasa serta-merta.”

Palanivel juga berkata beliau telah mengeluarkan memo kepada semua anggota CWC dan pemimpin lain supaya membatalkan mesyuarat CWC Sementara yang dikatakan tidak sah itu serta meminta mereka mengemukakan kepadanya notis pembatalan mesyuarat berkenaan.

“Walaupun saya telah me-ngeluarkan memo bertarikh 15 Jun 2015 itu, tetapi individu ini tidak membatalkan mesyuarat yang dijadualkan itu,” katanya.

Palanivel berkata tanpa sebarang keraguan, tindakan individu berkenaan dengan jelas bercanggah dengan kepentingan MIC.

“Anggota lain yang turut menandatangani notis tidak sah itu telah saya gantung sebelum ini dan penggantungan mereka terus kekal.

“Saya telah mengeluarkan surat penggantungan itu semalam dan mereka akan menerimanya dalam tempoh terdekat,” katanya.

Palanivel berkata, berikutan penggantungan keanggotaan mereka, mengikut Perkara 13.2 perlembagaan MIC, mereka yang terbabit tidak boleh menggunakan sebarang hak sebagai anggota parti berdasarkan Perkara 13.1, 13.1.1, 13.1.2, 13.1.3 dan 13.1.4 perlembagaan MIC.

Pada jam 1 petang semalam, Dr Subramaniam mem-pengerusikan mesyuarat CWC Sementara 2009-2013 di ibu pejabat MIC, walaupun keanggotaan mereka dalam MIC telah digantung.

Mesyuarat itu turut dihadiri Saravanan dan 16 anggota CWC, termasuk mereka yang digantung sebelum ini.

Bagaimanapun, keadaan di ibu pejabat MIC terkawal dan tiada kekecohan dilakukan anggota parti itu.

Mesyuarat CWC Sementara itu diadakan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi menolak dua permohonan semakan kehakiman oleh Palanivel dan empat yang lain untuk membatalkan perintah Pendaftar Pertubuhan agar MIC mengadakan pemilihan semula. — Bernama

 

Advertisement