Anda di sini

Pakatan Rakyat masih wujud, kata Nik Abduh

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) masih wujud dengan adanya kerjasama antara PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meski-pun DAP mengisytiharkan gabungan tersebut tidak lagi wujud, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau berkata PR ditubuhkan atas dasar kerjasama dan kesepakatan tiga parti itu dan apa jua keputusan perlu dicapai secara bersama dan bukannya secara bersendirian.

“PR tidak ‘habis’ walaupun hilang satu. DAP lah habis…kita ada lagi PR, ada dua parti ke atas, maka gabungan itu wujud, ia bergantung kepada hubungan PAS dan PKR.

“Kita kekal dengan PR. Keputusan DAP bukan bubar PR…itu bermakna dia buat keputusan dia. Kita tidak keluar PR. Kalau dia tolak kita, kita ada PKR,” katanya di lobi Parlimen semalam.

Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengulas berhubung keputusan DAP semalam mengisytiharkan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada parti itu, PKR dan PAS tidak lagi wujud.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata keputusan yang dibuat susulan Muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah ‘membunuh’ pakatan itu.

Jawatankuasa eksekutif pusat DAP dalam mesyuarat-nya kelmarin mencapai kata sepakat berhubung Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.

Nik Abduh juga berkata masa depan PR kini umpama di tangan PKR untuk diputuskan dan diselamatkan supaya krisis itu tidak terus berlanjutan.

Sementara itu, Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, pihaknya akan membincangkan perkembangan terbaru itu dalam mesyuarat Biro Politik mingguan yang akan diadakan di ibu pejabat mereka di sini malam tadi.

“Saya mengambil maklum kenyataan DAP mengenai kedudukan DAP dan Pakatan Rakyat seperti yang ditandatangani oleh YAB Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP sebentar tadi (semalam).

“Pimpinan Keadilan di semua peringkat tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan sehinggalah pendirian parti mengenai perkara ini dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan. — Bernama

 

Advertisement